Shahrel Fikri Tidak Mahu Sia-Siakan Peluang Untuk Buktikan Kemampuannya

Jika ada satu tema yang menggambarkan kehidupan Shahrel Fikri sebagai pemain bola sepak profesional, tema ‘bangkit dari bawah’ mungkin paling tepat baginya.

Pernah disisihkan dari skuad kebangsaan bawah-23 kerana mempunyai masalah jantung, beliau bangkit untuk membantu PKNP FC memburu slot Liga Super 2018 pada musim lalu dengan siri persembahan cemerlang di depan gol sehingga dipilih memasuki skuad kebangsaan.

Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 ini sedia membuktikan kepada Tan Cheng Hoe betapa pemilihannya untuk mewakili skuad kebangsaan pada saat akhir satu pilihan yang tepat.

“Sebelum ini pun pernah dipanggil namun terpaksa digugurkan kerana kecederaan jadi saya melihat panggilan saat akhir kali ini sebagai satu peluang yang tidak dijangka. Ini menunjukkan jurulatih menaruh kepercayaan kepada saya untuk membawa cabaran negara.

“Saya juga sudah mendapat rentak dalam aksi domestik dan dengan prestasi semasa yang agak baik, saya berpendapat saya layak untuk menerima panggilan ini. Jadi saya akan memberikan yang terbaik untuk membalas kepercayaan jurulatih.

“Walaupun ada yang mengganggap ia hanyalah sebagai panggilan kecemasan dan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan tonggak sebelum ini, namun saya melihat perkara ini dari sudut positif dengan membuktikan saya juga layak menyarung jersi skuad kebangsaan,” katanya kepada Berita Harian.

Shahrel Fikri
Kredit foto : PKNP FC

Beliau ialah salah seorang daripada sembilan muka baharu yang dipanggil Cheng Hoe bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya menjelang aksi bertemu Lubnan malam ini.

Shahrel mengakui beliau sebenarnya tidak sabar untuk beraksi dan tekad buru kesebelasan utama skuad Harimau Malaya.

“Saya hanya bercuti selama dua hari saja dan sudah mula menjalani latihan bersama PKNP FC walaupun tahu perlawanan seterusnya sudah ditangguhkan. Jadi boleh dikatakan saya sudah bersedia dengan momentum terbaik ketika ini,” tegasnya.

Tahun lepas, Shahrel telah memenangi anugerah pemain terbaik bulanan PFAM-Asiana.my untuk Liga Premier sebanyak dua kali (Februari 2017 dan April 2017).

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram