Shahrel Fikri Mahu Terus Buktikan Kemampuannya

Shahrel Fikri Perak Selangor Liga Super 2020

Perak dan Selangor, seteru klasik Liga Malaysia menamatkan perlawanan di minggu kedua CIMB Liga Super 2020 dengan keputusan seri 1-1, pada Sabtu lalu.

Umpama pertembungan final dek kerana perseteruan kedua-dua gergasi ini dan juga perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), kedua-dua penyokong mengharapkan satu perlawanan yang pastinya mahu dikenang.

Begitupun, hanya keputusan seri yang telah direkodkan selain kedua-dua gol tersebut dijaringkan di babak pertama menyaksikan aksi babak kedua mungkin ‘tiada seri’.

Namun, satu perkara yang mungkin boleh menarik perhatian adalah penyerang tempatan, Shahrel Fikri telah kembali merekodkan jaringan gol walaupun tumpuan lebih terarah kepada Guilherme de Paula yang meledak dua gol minggu lalu.

Kecemerlangan Guilherme de Paula minggu lalu dalam debutnya bersama Perak menyebabkan ramai penyokong mungkin tidak sabar-sabar untuk melihat kelibatnya menentang bekas pasukannya, Selangor, namun ianya tidak berhasil.

Mujur, Shahrel Fikri muncul sebagai penjaring buat The Bos Gaurus seterusnya mengikat Selangor untuk berpuas hati dengan satu mata sekurang-kurangnya.

Dalam senarai penjaring terbanyak ketika ini, dominasi barisan peledak import sudah tentu susah untuk ditandingi, namun terdapat beberapa pemain tempatan sudah mencipta nama dengan jaringan pertama sepertimana Shahrel Fikri.

Bercakap kepada New Straits Times, Shahrel Fikri mahu membuktikan dirinya mampu bersaing dengan penyerang import malah turut mengintai untuk meledak lebih banyak gol untuk membantu pasukannya, Perak, pada musim ini

“Perkara paling penting ketika ini untuk saya adalah membuktikan kemampuan saya untuk berada dalam kesebelasan utama. Saya perlu bersaing dengan pemain-pemain import serta cuba untuk menjaringkan sebanyak gol yang mungkin.

“Saya beraksi baik dalam pra-musim dan juga telah menghasilkan jaringan. Saya rasa, coach Mehmed Durakovic ada peranan yang lebih besar untuk saya pada musim ini,” jelas Shahrel Fikri yang telah tampil dalam kedua-dua aksi liga setakat ini.

Walaupun tidak menyumbang gol ketika menewaskan Terengganu FC pada minggu lalu, Shahrel Fikri yang masih berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Selangor, akhirnya berjaya merekodkan jaringan pertamanya.

Perak bakal berdepan PJ City FC pada Rabu di halaman sendiri dan tentunya bukan sahaja penyokong mahu melihat Guilherme de Paula, tetapi Shahrel Fikri turut akan menjadi tumpuan mereka, selepas dua aksi pertama di gelanggang lawan.

KREDIT FEATURED IMAGE: PERAK TBG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram