Shahrel Fikri Mahu Terus Beraksi Dalam Liga Thailand

Bekas penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri menafikan khabar angin di media sosial yang mengatakan beliau mahu pulang ke Malaysia lebih awal daripada Nakhon Ratchasima FC.

Menurut laporan daripada Berita Harian, Shahrel menegaskan dia kini sedang mengintai peluang untuk menyambut kontrak bersama kelab itu mahupun cuba memikat kelab lain di sana.

“Masih ada 10 perlawanan liga untuk diharungi, saya tidak akan lari atau balik awal sebaliknya mahu terus bermain di sana sehingga kontrak saya bersama Nakhon berakhir pada hujung musim.

“Saya juga akan menggunakan baki perlawanan itu untuk cuba memikat Nakhon dan kelab lain di Thailand dengan harapan dapat meneruskan karier di sana musim depan.

“Jadi, tidak timbul isu saya mahu balik awal walaupun saya akui apa yang saya tulis melalui twitter itu adalah luahan perasaan saya. Memang saya sunyi dan rindukan keluarga tapi tidak bermakna saya mahu balik awal,” katanya melalui whatshap kepada wartawan Berita Harian.

Shahrel yang dipinjamkan PKNP FC kepada Nakhon selama lima bulan mengakui kesunyian berada di negara itu kerana beliau hanya tinggal di rumah sewa seorang diri.

“Kawan pun tak ada, kawan cuma ada bila latihan itulah kawan sepasukan. Yang kawan sebelum latihan kawan lepas latihan kawan makan dan kawan jalan-jalan mana ada,” kata bekas ketua pasukan PKNP itu.

Setakat ini pemain kelahiran Sitiawan, Perak itu telah mengharungi lima perlawanan liga bersama Nakhon tanpa menjaringkan sebarang gol.

Begitu pun, pada 9 Ogos lalu, Shahrel menjaringkan gol sulung untuk pasukannya pada aksi suku akhir Piala Liga Thailand ketika bertemu Ranong United.

Shahrel ada antara pemain yang disenaraikan jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan menentang Taiwan dan Kemboja minggu depan.

Namun, Shahrel menyatakan ketidakpastiannya sama dapat menyertai latihan yang bermula Isnin ini kerana belum mendapat surat pelepasan daripada Nakhon.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram