Shahrel Fikri Kekal Dengan PKNP FC Sehingga Tahun 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Laman facebook rasmi PKNP FC, mengesahkan penyerang berbisa mereka, Shahrel Fikri sah telah menandatangani kontrak lanjutan 3 tahun bersama pasukan itu sehingga tahun 2020.

Menurut kenyataan itu, Shahrel Fikri merupakan tonggak utama pasukan PKNP FC bagi musim 2016 dan memikul tanggungjawab sebagai ketua pasukan pada musim 2017.

Beliau merupakan penjaring utama skuad PKNP FC apabila meledakkan 20 gol dalam semua pertandingan musim 2017.

KENYATAAN AKHBAR SHAHREL FIKRI MENANDATANGANI KONTRAK LANJUTAN BERSAMA PKNP FC

Posted by PKNP FC on Friday, January 5, 2018

Penyerang terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) ini merupakan seorang pemain yang berkomitmen tinggi dan berdisiplin. Beliau juga menjadi contoh dan ikutan kepada pemain muda dalam pasukan PKNP FC.

Kenyataan ini sekaligus menamatkan spekulasi perpindahan beliau ke pasukan lain sebelum saingan sebenar Liga Malaysia 2018 bermula.

Sebelum ini, Shahrel Fikri mengakui beberapa pasukan besar dalam Liga Malaysia cuba mendapatkan khidmat beliau. Namun penyerang berusia 23 tahun ini memberitahu yang beliau masih ada baki kontrak sehingga 2019.

“Saya akan memilih pasukan yang sedia menebus kontrak saya bersama PKNP FC sehingga 2019.”

Shahrel Fikri yang juga pernah dipanggil ke dalam skuad kebangsaan. Beliau berharap pada tahun 2018, beliau akan menjadi pemain penting dalam skuad Harimau Malaya.

Musim 2017 adalah musim yang akan diingati oleh penyerang bernama Shahrel Fikri. Beliau berjaya membantu PKNP menjadi pesaing kejuaraan Liga Premier dalam penampilan sulung mereka.

Lebih manis apabila PKNP FC diberikan tiket Liga Super 2018 bersama-sama dengan pasukan Negeri Sembilan. Ini selepas Felda United tidak memiliki lesen Liga Super dan T-team ditukarkan kepada Terengganu FC II yang menjadi kelab pembekal kepada pasukan Terengganu FC I.

Jika ada satu tema yang menggambarkan kehidupan Shahrel Fikri sebagai pemain bola sepak profesional, tema ‘bangkit dari bawah’ mungkin paling tepat baginya.

Pernah disisihkan dari skuad kebangsaan bawah-23 kerana mempunyai masalah jantung, beliau bangkit untuk membantu PKNP FC memburu slot Liga Super 2018 pada musim ini dengan siri persembahan cemerlang di depan gol sehingga dipilih memasuki skuad kebangsaan.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga bangkit dari kegagalan memenangi anugerah pemain terbaik bulanan PFAM-Asiana.my untuk Liga Premier sebanyak dua kali (Februari 2017 dan April 2017) untuk merangkulnya buat pertama kali pada Julai 2017.