Shahrel Fikri Kejar Masa Pulih Kecederaan

Shahrel Fikri

Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mengakui beliau kini bekerja keras untuk pulih daripada kecederaan yang dialaminya dalam usaha mahu memberikan sumbangan berkesan buat pasukan Perak sekaligus kembali mencuri perhatian ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe.

Pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan paha ketika menyertai sesi latihan bersama skuad kebangsaan dalam persiapan menghadapi aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada tahun lalu.

”Persiapan peribadi saya pada ketika ini adalah fokus untuk pulih daripada kecederaan yang dialami sebelum ini. Saya mula mengalami kecederaan pada bulan Oktober tahun lepas dan masih belum pulih sepenuhnya.”

”Berkemungkinan besar saya memerlukan lagi sebulan untuk pulih. Dalam pada itu, pada ketika ini saya hanya berusaha untuk lebih memahami peranan dan taktikal yang diterapkan ‘coach’ Mehmed Durakovic,” ujar Shahrel kepada wakil Semuanya BOLA.

”Harapan saya pada musim ini untuk membantu Perak dalam memberikan persaingan hebat kepada pasukan-pasukan lain dan ingin kembali menjadikan Perak sebagai pasukan yang lebih digeruni seperti satu ketika dahulu.”

Pemain yang pernah beraksi dalam saingan Toyota Thai League 1 itu turut melihat kehadiran pemain import dari Brazil, Guilherme De Paula dapat memberikan sesuatu yang besar buat Perak.

”Kehadiran [Guilherme] De Paula mampu menerajui bahagian serangan yang sebelum ni saya rasa tidak begitu padu dan kurang memberikan tentangan yang hebat utk pasukan lain. Saya rasa dia ada sesuatu yg mampu memberi impak yg besar dalam pasukan Perak.”

Dalam pada itu, ketika ditanya soalan santai sama ada mampukah Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 dengan status ‘The Invincibles’, ini respon diberikan Shahrel Fikri:

”Liverpool mampu muncul juara dan mengekalkan rekod tanpa kalah setelah sekian lama asyik melihat pasukan lain menjulangnya.”

Kredit foto: Perak TBG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram