Shahrel Fikri & Hafiz Ramdan Bakal Kembali Perkuatkan Perak Bagi Hadapi Musim 2019

Perak

Dua pemain yang pernah menyumbang bakti buat pasukan Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan Muhammad Hafiz Ramdan bakal kembali menggalas tanggungjawab bersama skuad juara Piala Malaysia 2018 itu.

Menurut sumber yang dikeluarkan Stadium Astro, pihak Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sudah mencapai kata sepakat bersama Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) bagi mendapatkan khidmat kedua-dua pemain terbabit.

Pengurus pasukan Liga Super Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah telah mengesahkan berita yang pasti menggembirakan para penyokong skuad The Bos Gaurus itu.

“Shahrel (Fikri) dan Hafiz (Ramdan) akan memperkuatkan Perak musim baru nanti.”

“Saya yakin kehadiran mereka akan memantapkan lagi Perak,” jelas Adly Shah bercakap kepada wartawan Stadium Astro.

Kedua-dua pemain ini bukanlah asing buat penyokong Perak kerana Shahrel dan Hafiz adalah watak penting buat pasukan sewaktu mereka bersama skuad Piala Presiden Perak.

Antara kejayaan yang pernah dikecapi mereka berdua adalah menjuarai saingan Piala Presiden dan SUKMA 2014 di Perlis.

Bagaimanapun, di peringkat senior, mereka terpaksa berhijrah bagi mengembangkan bakat dimana Shahrel memilih haluan ke PKNP FC untuk beraksi dalam saingan Liga FAM 2016.

Hafiz Ramdan pula yang pernah beraksi buat skuad utama Perak, menyertai PKNP FC secara pinjaman pada musim 2017 dan berpindah secara tetap pada musim ini serta menjadi ketua pasukan selepas Shahrel Fikri dipinjamkan ke Nakhon Ratchasima Mazda FC.

Shahrel masih mempunyai kontrak sehingga tahun 2020 bersama PKNP FC manakala kontrak Hafiz Ramdan akan tamat pada penghujung musim hadapan.

Kredit foto: PKNP FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram