Shahrel Fikri Belum Pasti Sertai Skuad The Bos Gaurus

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Perak atau PKNP FC ?

Penyerang skuad Harimau Malaya, Shahrel Fikri mengakui dalam dilema sama ada kekal dengan PKNP FC atau memilih untuk menyertai pasukan Perak bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia.

Shahrel kembali semula ke Malaysia selepas 5 bulan beraksi dalam saingan Liga Thailand bersama kelab Nakhon Ratchasima secara pinjaman dari PKNP FC. Malah, terdapat usaha untuk menyambung kontraknya di Thailand namun ia tidak menjadi kenyataan.

Beliau yang baru sahaja menamatkan zaman bujangnya semalam akan membuat keputusan dan mengumumkan pasukan baharunya selepas tamat bercuti selama dua minggu.

Katanya dalam Berita Harian, jika tiada sebarang tawaran daripada pasukan lain, dia yang juga kapten PKNP FC akan memulakan musim 2019 dengan pasukan itu.

“Kontrak saya bersama PKNP FC sehingga tahun 2020 dan memang sekarang ada rundingan dengan pasukan Perak dan saya ada menyatakan niat untuk bermain dengan Perak.

“Namun saya perlu hormat pasukan saya ketika ini sebab saya tahu PKNP FC juga memerlukan saya untuk mengharungi musim baru kerana sebelum ini saya berada di liga Thailand dan sudah lama tidak bersama PKNP FC.

“Jadi tahun 2019 saya ingin memulakan musim baharu dengan PKNP FC dan mengenai (tawaran) Perak itu saya tidak boleh cakap lagi kerana memang tiada kata putus antara kedua-dua pasukan,” jelasnya.

Shahrel Fikir beraksi dalam perlawanan akhir Piala Suzuki AFF menentang Vietnam baru-baru ini.  (Photo by Manan VATSYAYANA / AFP) (Photo credit should read MANAN VATSYAYANA/AFP/Getty Images)

PKNP FC adalah pasukan yang telah menaikkan namanya dipentas bola sepak tempatan dan beliau adalah antara tonggak utama yang membantu pasukan itu naik ke Liga Super.

“Rasa sayang itu ada dan saya ingin berterima kasih kepada pengurusan PKNP FC dan jurulatih Abu Bakar Fadzim yang selama ini memberi kepercayaan kepada saya.

“Ini antara sebab saya tidak tahu ingin memilih dan dalam dilema terutama pengurusan yang jaga saya selama ini dan ambil berat tentang saya.

“Perak juga satu peluang yang menarik kerana pasukan itu menjuarai Piala Malaysia, jika ada tawaran saya ingin pergi sebab Perak memang pasukan terbaik,” katanya.