Shafie Apdal Sifatkan Kejayaan Sabah FA Berasal Dari Kerja Keras Pihak Pengurusan

Tidak boleh dinafikan bahawa jika sesebuah organisasi mempunyai corak pengurusan profesional, teratur dan juga terurus, maka hasil akhirnya juga berkemungkinan besar akan menjadi positif di kemudian hari.

Formula mudah ini bukan sahaja berkesan dan digunapakai di dalam urusan perniagaan, urusan pentadbiran syarikat koporat mahupun kerajaan, tetapi juga di dalam bola sepak.

Bukti jelas ialah kejayaan Sabah FA mengakhiri kemarau kejuaraan selama 23 tahun – semuanya bermula dari pihak pengurusan yang teratur, terutama dalam usaha menjaga kebajikan pemain.

Tidak ketinggalan untuk menyampaikan ucapan tahniah kepada skuad Tambadau yang muncul juara Liga Premier 2019 baru-baru ini ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mengulas mengenai kejayaan Sabah FA muncul juara Liga Premier baru-baru ini, beliau menyifatkan ia adalah disebabkan komitmen tinggi pihak pengurusan SAFA yang rata-rata dilantik pada Disember tahun lalu untuk menggantikan pengurusan lama.

Sebelum pengambilalihan dilakukan, barisan pemain Sabah dikatakan mengalami masalah tunggakan gaji sehingga lima bulan.

Namun segalanya berjaya diselesaikan oleh pengurusan baharu yang diketuai oleh Datuk Peter Anthony.

“Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh pengurusan SAFA terutamanya kepada Peter kerana berjaya menjulang trofi Liga Perdana musim ini dan berjaya ke Liga Super pada musim akan datang.

“Oleh itu saya harap prestasi pasukan dapat dikekalkan untuk menghadapi Piala Malaysia dan Liga Super pada musim akan datang,” katanya selepas menyaksikan penyerahan trofi kejuaraan Liga Perdana, di Stadium Likas pada Sabtu lalu.

Kredit Foto: Sabah FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram