Setien Yakin Messi Akan Kekal Dan Bersara Di Barcelona

Quique Setien Lionel Messi

Masa depan bintang Barcelona, Lionel Messi tidak terjejas sekalipun kini berlaku krisis dalaman yang agak kritikal di Nou Camp, kata ketua jurulatih, Quique Setien.

Penggantungan La Liga ekoran pandemik Covid-19 tidak menghalang dari berlaku pergolakan dalam pengurusan tertinggi Barcelona sejak minggu lepas.

Enam ahli lembaga pengarah telah meletakkan jawatan dan ia memberi tekanan kepada presiden kelab, Josep Mario Bartomue. Kelab tersebut kemudian berjanji akan mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas naib presidennya, Emili Rousaud.

Rousaud adalah salah seorang daripada enam orang lembaga pengarah yang meletakkan jawatan dan beliau kemudian membalas dengan mengatakan bersedia untuk ‘bertempur’ di mahkamah mengenai kewujudan kes rasuah di dalam kelab berkenaan.

Messi juga sebelum ini telah beberapa kali ‘bertembung’ dengan pengurusan tertinggi Barcelona mengenai pelbagai isu seperti, pembelian pemain baharu, masa depan pemain bintang dan isu rundingan pemotongan gaji.

Kapten pasukan itu juga pernah mengkritik pengarah sukan Barcelona, Eric Abidal kerana mengatakan pemain-pemain tidak berusaha keras semasa di bawah kendalian Ernesto Valverde sehingga menyebabkan bekas ketua jurulatih itu dipecat pada Januari lalu.

Pemenang Ballon d’Or itu kini telah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City dan Inter, namun Setien masih optimis pemain itu akan terus kekal.

“Ini adalah perkara normal di kelab besar. Cuma apa yang agak mengecewakan ianya sering disensasikan oleh pihak media.

“Saya tidak rasa krisis yang berlaku akan membuatkan pemain seperti Messi perlu memikirkan berulang kali sama ada mahu kekal ataupun tidak bersama kelab ini. Saya yakin dia akan menamatkan karier di Nou Camp.”

Dengan aksi musim 2019/20 masih tidak pasti bila akan bersambung, Setien berkata agak mustahil untuk Barca dianugerahkan kejuaraan kerana mereka kini hanya mendahului dengan dua mata di hadapan Real Madrid dan masih ada sembilan perlawanan berbaki.

“Saya lebih suka menjadi juara dengan menamatkan saingan La Liga, menjuarainya ketika berada di atas padang,” kata Setien lagi.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Lionel Messi dan Barcelona:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram