Serie A: Ronaldo Terus Pecah Rekod, Namun Juventus Tetap Dikejutkan Verona

Hellas Verona telah berjaya mengejutkan juara bertahan Serie A dengan kemenangan 2-1 dramatik juara Juventus.

Hellas Verona menjaringkan dua gol dalam masa 14 minit terakhir selepas Cristiano Ronaldo menjaringkan gol dalam 10 perlawanan liga berturut-turut.

Perlawanan pada separuh masa pertama berakhir dengan tiada gol daripada kedua dua pasukan – walaupun ada beberapa siri ciptaan peluang gol.

Marash Kumbulla gagal mengambil peluang untuk menjaringkan gol untuk pasukannya. Manakala Douglas Costa dan Ronaldo juga terlepas peluang masing-masing pada separuh masa pertama.

Masuk separuh masa kedua, 3 gol terhasil daripada perlawanan ini.

Ronaldo seolah-olah telah memberikan Juve kemenangan dengan gol beliau kira-kira 25 minit daripada wisel penamat. Jaringan tersebut merupakan gol ke-20 dalam liga oleh Ronaldo yang baru sahaja meraikan harijadinya ke-35 baru-baru ini.

Beliau kini memecahkan rekod ‘streaks’ jaringan yang dicipta oleh David Trezeguet sebelum ini.

Namun siapa sangka, Verona – melakukan kebangkitan lewat dengan menjaringkan dua gol. Verona selayaknya mendapat sesuatu daripada perlawanan ini selepas menunjukkan aksi melawan yang sangat kental.

Bekas pemain Liverpool dan AC Milan iaitu, Fabio Borini menyamakan kedudukan pada minit ke-76 perlawanan. Itu merupakan jaringan gol liga kedua untuk Fabio Borini musim ini.

Dan tidak lama selepas itu, Giampaolo Pazzini, memastikan tiga mata berharga milik Verona dengan gol menerusi penalti.

Perlawanan berakhir dengan kemenangan Hellas Verona 2-1.

Fabio Borini dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, selepas aksi bertenaga yang ditunjukkan oleh beliau dalam kemenangan ini.

Juventus kini membuka peluang kepada Inter Milan untuk menyamakan kutipan mata. Jika Inter Milan menang dalam derbi Milano awal pagi esok, maka mereka akan naik semula ke puncak liga, dengan kelebihan perbezaan jaringan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply