Serie A: Inter Tewas Di Tangan Juventus, Higuain Jaringkan Gol Minit Ke-80

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Juventus menamatkan rekod permulaan sempurna Inter Milan musim ini. Juventus menang 2-1 dalam derbi d’Italia yang pertama musim ini.

Perlawanan ini juga menyaksikan 3 pemain Argentina menjadi penjaring gol. 2 penjaring gol Juventus pula merupakan 2 pemain yang sebelum ini mahu dijual oleh mereka, namun 2 pemain tersebut enggan berpindah dan mahu terus kekal, iaitu Dybala dan Higuain.

Ternyata mereka telah memberikan keceriaan kepada penyokong Juventus.

Dengan kemenangan ini, bermakna Juventus tinggal satu-satunya pasukan yang masih belum tewas di Serie A selepas 7 perlawanan.

Gonzalo Higuain menjadi wira pasukannya dengan gol lewat. Beliau masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan ini, walaupun dalam prestasi terbaik.

Pada permulaan, Maurizio Sarri memutuskan untuk menggunakan Paulo Dybala sebagai false 9. Penyerang kebangsaan Argentina itu meletakkan Juventus di hadapan seawal minit ke-4.

Cristiano Ronaldo berpeluang menambah gol untuk pasukan pelawat, namun sayangnya percubaan beliau – menerusi sepakan percuma – tidak dapat menerjah gawang gol.

Inter Milan kemudian mendapat penalti. Seorang lagi bintang Argentina, Lautaro Martinez meneruskan rentak cemerlang beliau di hadapan gol. Martinez dengan tenang menyempurnakan penalti tersebut.

Pada minit ke-62, Maurizio Sarri melakukan 2 pertukaran dengan memasukkan Rodrigo Bentancur dan Gonzalo Higuain.

2 pemain tersebut yang bergandingan memberikan gol kemenangan buat Juventus pada minit ke-80. Higuain berjaya menyempurnakan hantaran Bentancur, untuk memastikan Juventus menang 2-1 di hadapan penyokong Inter Milan.

Jaringan tersebut adalah jaringan berpasukan yang diolah dengan melibatkan 20 hantaran.

Gonzalo Higuain terus menjadi mimpi buruk untuk San Siro, sama ada untuk AC Milan mahupun Inter Milan.

Juventus memintas Inter Milan selaku pendahulu carta Serie A, sebelum minggu rehat antarabangsa.