Serie A 2020/21: Zlatan Tampil Bergaya, ‘Derbi Milan’ Milik Rossoneri

Kerjasama Semuanya BOLA

Zlatan

AC Milan meneruskan momentum kemenangan 100 peratus apabila berjaya menundukkan musuh setempat, Inter Milan 2-1 pada aksi yang berlangsung di Giuseppe Meazza, sebentar tadi.

Zlatan Ibrahimovic yang baharu sahaja pulih daripada COVID-19 membuka tirai jaringan pada minit ke-13 apabila percubaan susulan selepas sepakan penalti diambil legenda Sweden itu dinafikan penjaga gol, Samir Handanovic berjaya membolosi gawang Inter Milan.

Sepakan penalti itu dihadiahkan buat AC Milan selepas Aleksandar Kolarov melakukan kekasaran terhadap Ibrahimovic dalam kawasan penalti dan pengadil perlawanan, Maurizio Mariani tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan tersebut.

Berselang tiga minit kemudian, Ibrahimovic sekali lagi membuktikan bisa sentuhannya selepas beliau menolak masuk bola hasil hantaran lintang yang cukup menarik dilakukan pemain sayap kiri, Rafael Leao.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Inter Milan yang dibimbing Antonio Conte tampil dengan lebih baik dalam usaha untuk memburu jaringan bagi merapatkan kedudukan.

Usaha I Nerazzurri membuahkan hasil pada minit ke-29 setelah Romelu Lukaku yang tidak dikawal pertahanan AC Milan dalam kawasan penalti, dengan tenang menolak masuk hantaran lintang Ivan Perisic.

Jaringan itu jelas meningkatkan lagi moral barisan pemain Inter Milan untuk mendapatkan kembali menyamakan kedudukan. Antara peluang terbaik dimiliki ialah pada minit ke-59 menerusi Achraf Hakimi.

Pemain skuad kebangsaan Maghribi itu bagaimanapun mensia-siakan peluang terhidang apabila hantaran cantik daripada Arturo Vidal yang singgah tepat di kepalanya gagal disudahkan dengan baik ketika beliau hanya berhadapan dengan Gianluigi Donnarumma.

Memasuki minit ke-73, Inter Milan hampir dihadiahkan sepakan penalti setelah Donnarumma mengasari Lukaku dalam kawasan penalti, namun selepas khidmat Video Assistant Referee (VAR) digunakan, Lukaku terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Lukaku mendapat peluang keemasan setelah mendapat hantaran daripada Lautaro Martinez pada masa kecederaan tetapi tolakannya tersasar di hadapan pintu gol AC Milan.

‘Backheel’ daripada penyerang berbisa itu dalam situasi kelam-kabut di dalam kawasan penalti juga masih gagal untuk menewaskan Donnarumma.

Kedudukan 2-1 memihak AC Milan itu kekal hingga tamat permainan untuk memberikan kemenangan bermakna buat Rossoneri di pertembungan Derby Della Madonnina [Derbi Milan] yang kali terakhir dimenangi mereka dalam saingan Serie A pada 31 Januari 2016.

Kemenangan itu juga meletakkan AC Milan di tangga teratas dengan 12 mata manakala Inter Milan di tangga keenam dengan tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan.

Kredit featured image: Twitter AC Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram