Serie A 2020/21: Tandukan Zlatan Ibrahimovic Selamatkan Rekod Tanpa Kalah AC Milan

Zlatan Ibrahimovic

Zlatan Ibrahimovic yang pada mulanya kelihatan seperti bakal menjadi ‘punca’ kepada kekalahan pertama AC Milan berubah watak dengan sekelip mata apabila jaringannya pada lewat permainan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah setelah terikat 2-2 bertemu Hellas Verona di San Siro, sebentar tadi.

Antara drama dapat disaksikan pada perlawanan ini terutamanya melibatkan penyerang veteran tersebut apabila beliau gagal menyempurnakan sepakan penalti dan jaringan Davide Calabria terpaksa dibatalkan selepas rujukan daripada Video Assistant Referee (VAR) mengesan bahawa bola terlebih dahulu terkena tangan Ibrahimovic.

Selain itu, AC Milan juga berupaya untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol selepas dikejutkan dengan jaringan awal daripada Antonin Barak dan gol sendiri Calabria.

Turun dengan status selaku pendahulu kempen Serie A 2020/21, AC Milan mungkin dilihat tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan keenam musim ini. Bagaimanapun ianya jelas meleset apabila pasukan pelawat membuka tirai jaringan seawal minit keenam.

Gol tersebut berpunca daripada tandukan Federico Ceccherini yang terkena palang gol dan kemudiannya Barak bertindak pantas untuk menolak masuk bola ketika penjaga gol, Gianluigi Donnarumma sedikit lewat bagi menyelamatkan keadaan.

Tersentak dengan jaringan itu, pemain muda, Alexis Saelemaekers menguji gawang Verona menerusi rembatan padu dari luar kawasan penalti tetapi penjaga gol, Marco Silvestri lebih tangkas untuk menyelamatkan keadaan.

Menerusi satu lagi situasi bola mati, Verona berjaya mendapatkan jaringan kedua apabila rembatan separa voli dilepaskan Mattia Zaccagni membias terkena Calabria yang terus menerjah gawangnya sendiri dan hanya mampu dilihat Donnarumma pada minit ke-19.

Sedar hanya jaringan dapat menyemarakkan api perjuangan mereka untuk kembali bersaing dalam merapatkan defisit jaringan, para pemain AC Milan menggandakan asakan dengan mengawal permainan dengan baik. Rafael Leao hampir melakukannya pada minit ke-23, namun percubaan hasil kelincahannya berjaya ditepis keluar Silvestri.

Jaringan yang diharapkan skuad Rossoneri itu menjelma berselang empat minit kemudian apabila hantaran lintang daripada Saelemaekers berjaya dikuis Franck Kessie lalu terkena pemain pertahanan lawan, Giangiacomo Magnani untuk jaringan sendiri sekali gus merapatkan jurang kedua-dua pasukan.

Skuad bimbingan Stefano Pioli itu terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan selepas percubaan jarak dekat Theo Hernandez dinafikan Silvestri pada minit ke-30.

Aksi pada separuh masa kedua lebih mendebarkan yang mana jaringan daripada Hakan Calhanoglu pada minit ke-51 telah dibatalkan selepas beliau terlebi1h dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Theo Hernandez terus dikecewakan oleh Silvestri selepas gerakan cantik digerakannya bersama Ante Rebic ditepis penjaga gol berusia 29 tahun tersebut pada minit ke-64. Dua minit kemudian, kem AC Milan terus hampa berikutan kegagalan Ibrahimovic untuk menyempurnakan sepakan penalti selepas rembatannya melewati palang gol.

AC Milan yang tertekan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah memperolehi jaringan pada minit ke-90 tetapi ledakan Calabria terpaksa dibatalkan selepas bola terkena tangan Ibrahimovic.

Penyerang kelahiran Sweden itu bagaimanapun muncul wira buat AC Milan apabila tandukannya pada minit ke-93 selepas menerima hantaran lintang daripada Brahim Diaz tidak mampu dihalang Silvestri untuk kembali mengikat kedudukan.

Jaringan itu juga merupakan gol kelapan buat beliau dalam saingan liga musim ini sekali gus masih lagi mendahului senarai penjaring terbanyak dengan Cristiano Ronaldo dan Andrea Belotti mengekori rapat dengan enam gol.

Dengan keputusan seri yang dicatatkan, AC Milan masih kekal di tangga teratas Serie A 2020/21 untuk mengumpul 17 mata hasil lima kemenangan dan dua keputusan seri manakala Verona di tangga kelapan dengan 12 mata.

Kredit featured image: Jonathan Moscrop/Getty Images

 

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN