Serie A 2019/20: Lautaro Martinez Bawa Inter Ke Puncak Liga, Ronaldo Selamatkan Maruah Juventus

Inter Milan mendaki ke puncak liga Serie A mengatasi Juventus selepas menang 2-1 ke atas SPAL pada ahad hasil dua jaringan dari Lautaro Martinez pada separuh masa pertama.

Penyerang antarabangsa Argentina itu menyumbat gol menerusi rembatan rendah dan menanduk masuk gol keduanya sebelum rehat separuh masa untuk menjadikan jumlah jaringannya musim ini sebanyak 13 gol dalam semua pertandingan.

SPAL merapatkan kedudukan pada separuh masa kedua hasil gerakan individu dari Mattia Valoti namun kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat masa permainan.

Ia merupakan kemenangan ke-12 Inter dalam 14 perlawanan liga musim ini untuk menjadikan rekod permulaan musim terbaik kelab itu dalam sejarah penyertaan mereka.

“Kami telah berusaha keras sejak hari pertama untuk mencipta impak untuk menggugat pasukan-pasukan lain.” ujar pengurus, Antonio Conte kepada Sky Italia.

“Kembali menerajui liga selepas 14 perlawanan membuatkan kami bangga selepas menempuh perjalanan yang tidak mudah untuk sampai di tahap ini.”

Dalam satu lagi perlawanan lain, Cristiano Ronaldo kembali menemui sentuhan jaringan dengan menjaringkan gol pertamanya sejak Oktober untuk menyelamatkan Juventus yang seri 2-2 dengan Sassuolo di Turin. Keputusan itu menyaksikan Juventus terlepas cengkaman kedudukan pendahulu liga kepada Inter.

Leonardo Bonucci menjaringkan gol pendahaluan Juventus pada babak pertama hasil rembatan dari luar petak penalti. Tetapi tiga minit kemudian, Sassuolo berjaya mengikat kedudukan hasil gerakan berpasukan yang cantik disudahkan pemain sayap Sassuolo, Jeremie Boga yang menyungkit bola masuk ke gawang Juventus.

Dua minit selepas rehat, Juventus ketinggalan akibat keadaan kelam kabut di barisan pertahanan dan kesilapan penjaga gol veteren mereka Gianluigi Buffon yang gagal menangkap kemas sepakan Francesco Caputo.

Ronaldo akhirnya menyelamatkan pasukan tuan rumah dengan gol penyamaan menerusi sepakan penalti untuk mengakhiri kemarau jaringan dalam empat perlawanan sekaligus menafikan kemenangan pertama Sassuolo ke atas Juventus.

“Kami meletakkan diri kami dalam keadaan sukar, kami agak leka pada separuh masa pertama,” ujar jurulatih Juventus, Maurizio Sarri kepada Sky Italia.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply