Highlight Serie A 2019/20: Juventus Jinakkan Udinese Menerusi Jaringan Berganda Ronaldo

Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol untuk mencatat rekod jaringan baharu ketika membantu Juventus menewaskan Udinese 3-1 di tempat sendiri pada Ahad untuk kembali ke puncak Serie A buat sementara waktu.

Penyerang berusia 34 tahun itu yang berada di prestasi terbaiknya ketika ini telah menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan terakhirnya untuk mengumpul keseluruhan 11 gol dalam 19 penampilan pada musim ini.

Catatan itu membolehkan Ronaldo menjadi satu-satunya pemain di liga utama Eropah yang mencatat jaringan dua angka dalam semua pertandingan untuk 15 musim berturut-turut.

Penyerang Portugal itu menyumbat dua gol pada separuh masa pertama sebelum tandukan Leonardo Bunucci pada penghujung babak pertama melengkapkan tiga gol yang diperoleh Juventus dalam perlawanan berkenaan.

Ignacio Pussetto kemudian mendapat gol saguhati buat pasukan pelawat pada lewat permainan.

“Perkara yang paling penting adalah menang. Inilah cara sepatutnya kami bermain, dengan kayakinan yang tinggi. Persembahan individu bukan yang utama, tetapi semangat dan usaha berpasukan,” kata Ronaldo kepada Sky Italia.

Gianluigi Buffon diturunkan dalam perlawanan ini untuk menyamai penampilan terbanyak yang dipegang Alessandro Del Piero yang memegang rekod 478 penampilan dalam Serie A.

Maurizio Sarri pula membuat sedikit pembaharuan dengan menurunkan tiga penyerang iaitu Ronaldo, Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain bagi membentuk rangkaian serangan bertiga. Di  bahagian pertahanan pula, Matthijs de Ligt diketepikan dan Merih Demiral menjadi pilihan untuk digandingkan dengan Leonardo Bonucci.

Percaturan itu ternyata membuahkan hasil apabila gol pertama Ronaldo seawal minit kesembilan direncanakan oleh Dybala yang sepakannnya terbias dan disambar Ronaldo yang merembat kencang menewaskan Juan Musso.

Gol kedua pula adalah hasil lorongan Higuain yang disudahkan dengan cemerlang oleh Ronaldo. Gol ketiga pula bermula dengan sepakan penjuru yang ditanduk lambung Demiral sebelum ditanduk masuk oleh Bonucci.

Juventus meratapi kekalahan pertama mereka dalam saingan liga pada musim ini kepada Lazio pada minggu lepas dan terlepas takhta liga kepada Inter Milan. Namun juara bertahan itu kembali memberikan tekanan kepada skuad kendalian Antonio Conte itu yang bermain lebih lewat pada Ahad.

Juventus kini mempunyai 39 mata sementara Udinese terjelopok di zon penyingkiran di tempat ke-17 dengan hanya 15 mata.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khasΒ untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN