Serie A 2019/20: Juventus Lesu Tanpa Ronaldo, Prestasi Buruk De Ligt Berterusan

Keputusan Maurizio Sarri untuk merehatkan ayam tambatan pasukannya, Cristiano Ronaldo ternyata memakan diri selepas Juventus hanya seri 1-1 berdepan Lecce – pasukan yang baru dipromosi ke Serie A – di Stadium Via del Mare.

Prestasi buruk Matthijs de Ligt sejak menyertai gergasi Itali itu pada musim panas lepas berterusan dalam perlawanan ini dengan melakukan beberapa kesilapan sepanjang perlawanan.

Salah satunya menyaksikan beliau tertampan bola dengan tangan membolehkan Marco Mancosu menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-56. Gol tersebut memastikan tuan rumah meraih satu mata berharga berdepan dengan juara bertahan berkenaan.

Enam minit sebelum itu, Paulo Dybala – yang muncul hero pasukannya semasa menentang Lokomotiv Moscow dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tempoh hari -memberikan Juventus gol pendahuluan juga hasil sepakan penalti selepas Mirelem Pjanic dibentes Jacopo Petruccioni

Pada minit ke-15, Juventus telah pun meraikan jaringan Gonzalo Higuain yang menerima hantaran lintang Alex Sandro. Namun beberapa minit selepas itu pengadil membatalkan gol tersebut selepas semakan VAR mendapati pemain antarabangsa Argentina itu berada di kedudukan ofsaid.

Juventus berpeluang menambah jaringan pada minit ke-61 apabila hantaran jauh dari belakang oleh Pjanic berjaya disambar Bernardeschi yang membuat larian. Selepas menggelecek panjaga gol, pemain sayap itu gagal menyudahkan peluang keemasan sekalipun pintu gol telah terbuka.

Kemasukan Juan Cuadrado menggantikan Danilo pada separuh masa kedua gagal memberikan impak di bahagian serangan dengan Juventus terus gagal menambah jaringan.

Juventus turut kehilangan Pjanic yang mengadu mengalami kesakitan pada pangkal pehanya sebelum digantikan Sami Khedira.

The Old Lady berisiko jatuh ke tangga kedua liga sekiranya Inter Milan berjaya menewaskan Parma dalam satu lagi perlawanan yang akan berlangsung lebih lewat pada Sabtu.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram