Seri Sudah Cukup Buat KL City Cipta Sejarah Tanpa Kalah Di Cheras

KL City Kedah Liga Super 2021 rekod tanpa kalah

Turun berdepan Kedah Darul Aman FC pada aksi Liga Super pada malam nanti menyaksikan KL City FC dengan misi mahu kekal dengan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri dalam 11 perlawanan.

Dalam 10 perlawanan sebelum ini, The City Boys menang enam daripadanya dan empat lagi aksi hanya berkesudahan seri. Ia keputusan yang menakjubkan bagi pasukan yang baharu kembali ke Liga Super.

Jika berjaya kekal dengan rekod tanpa kalah di Stadium KLFA, Cheras, mereka akan menyamai rekod yang dicipta oleh JDT dan Selangor musim lalu, tanpa kalah dalam enam dan lima aksi di laman sendiri.

Liga Super 2020 Home record
Rekod Liga Super 2020 di laman sendiri

Musim lalu di halaman sendiri, JDT yang beraksi enam kali merekodkan lima menang dan satu seri, sementara Selangor pula, menang sekali dan empat lagi perlawanan hanya berkesudahan seri.

Berdepan cabaran Kedah yang dalam rentak terbaik – menang empat daripada lima aksi terkini, mungkin satu cabaran buat skuad kendalian Bojan Hodak, namun beliau sentiasa ada resipinya.

Masih ingat bagaimana beliau memerangkap Penang FC di Cheras? Mereka telah mengatasi Harimau Kumbang yang ketika itu dalam rentak terbaik mereka – tidak kalah dalam sembilan aksi berturut-turut.

Bercakap kepada Harian Metro, ujar Bojan Hodak, “Saya selalu tekankan kepada pemain agar gunakan kelebihan gelanggang sendiri dengan sebaik-baiknya untuk meraih mata sama menang atau seri.”

“Nampaknya pasukan hampir mencipta sejarah tersendiri apabila untuk musim ini, KL City muncul satu-satunya pasukan yang belum pernah kalah di tempat sendiri,” tambahnya lagi tentang prestasi mereka.

“Rekod ini akan cuba dipertahankan apabila menentang Kedah nanti kerana perlawanan dengan mereka adalah aksi terakhir kami di Cheras sebelum perlawanan terakhir liga menentang JDT,” tambahnya.

Peluang mereka tambah sedikit cerah apabila skuad Hijau Kuning turun tanpa penyerang sensasinya, Kpah Sherman yang sedang dalam tugasan bersama skuad kebangsaan di kelayakan Piala Dunia.

Gandingan 3F Di Jentera Serangan Kedah Gagal Ujian Pertama

Tanpa Kpah Sherman, Rabih Ataya serta Kipre Tchetche pada Rabu lalu, Kedah hanya mampu meraih satu mata apabila diikat dengan keputusan seri 2-2 menentang Sri Pahang di Stadium Darul Makmur.

Rabih Ataya juga ketika ini menyertai kem skuad kebangsaan Lubnan, sementara Kipre Tchetche dikhabarkan mengalami kecederaan dalam sesi latihan akhir sebelum turun berdepan Tok Gajah.

Selepas 20 perlawanan, KL City berada di kedudukan ke-6 liga dengan 30 mata, hanya tiga mata di belakang musuh Lembah Klang mereka, Selangor. Berbaki dua perlawanan, mereka berpeluang dan dalam landasan terbaik untuk menamatkan musim di kedudukan ‘top 5’ Liga Super 2021.

Adakah misi serampang dua mata ini akan berjaya – kekal tanpa kalah dan berada di kalangan ‘top 5’? Ujar Bojan Hodak, “Saya mahu pemain fokus setiap aksi dan jangan fikirkan soal kedudukan liga.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN