5 Senarai Semak Untuk Liverpool Sebelum Sepak Mula Musim 2017/2018

Liverpool menewaskan Crystal Palace dengan jaringan 2-0 dalam kejohanan Premier League Asia Trophy, juga sebahagian persiapan pra musim kelab Merseyside itu di Hong Kong semalam.

Dua gol pada separuh masa kedua oleh Dominic Solanke dan Divock Origi memadai untuk memastikan kemaraan Liverpool ke perlawanan akhir bertemu Leicester City.

Berdasarkan perlawanan semalam, kami menggariskan 5 senarai semak yang boleh diperbincangkan, khususnya oleh peminat dan penyokong kelab Merseyside sebelum sepak mula musim 2017-2018.

1. Bagaimana Mohamed Salah meningkatkan kualiti serangan Liverpool?

Larian Mohamed Salah menewaskan pertahanan Crystal Palace, Damien Delaney pada awal perlawanan disambut dengan sorakan dari penonton yang hadir di stadium.

Pertahanan tengah Palace, Scott Dann juga dilayangkan kad kuning pada separuh masa pertama kerana kekasaran terhadap pemain yang baru menyertai Liverpool itu.

Mohamed Salah beraksi selama 50 minit dalam perlawanan ini. Kehadiran Salah menjanjikan sesuatu yang menarik buat penyokong Liverpool pada musim hadapan.

(Photo by Power Sport Images/Getty Images)

Aksinya di tengah padang menghiburkan.

Penonton belum menyaksikan hasil daripada pemain antarabangsa Mesir ini dalam perlawanan tersebut. Satu percubaan kaki kiri liar melewati gawang gol, dan hantaran akhirnya kadang kala kelihatan pincang.

Namun demikian, kepantasan dan corak permainan ‘direct football’ yang ditampilkan Salah mampu memporak-perandakan mana-mana pertahanan lawan di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Liverpool pasti menagih lebih banyak aksi sedemikian daripada Salah untuk saingan pada musim hadapan.

2. Adakah Solanke akan berjaya bersama Liverpool?

Tatkala Salah tidak menjaringkan gol, satu lagi pemain yang baru menyertai skuad Anfield pada perpindahan kali ini berjaya menghasilkan jaringan.

Ini sekaligus menambahkan keterujaan penyokong Liverpool akan potensi bintang Piala Dunia Bawah-20 England, Dominic Solanke.

Solanke adalah pemain terbaik kejohanan Piala Dunia Bawah-20 di Korea Selatan pada Jun lalu.

Dimasukkan selepas rehat pada separuh masa kedua, Solanke merembat rendah dari luar kotak penalti ke penjuru gawang Crystal Palace untuk gol pendahuluan Liverpool.

(Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Sebelum ini pemerhati bola sepak Inggeris agak skeptikal akan kehadiran Solanke dalam skuad utama Liverpool. Di Chelsea, Solanke sukar mendapatkan minit untuk beraksi.

Bagaimanapun Solanke berpeluang menutup mulut pengkritiknya kali ni. Liverpool akan beraksi dalam 4 pertandingan utama pada musim hadapan. Juergen Klopp pasti akan menggunakan Solanke dalam jadual yang dijangka padat .

Tida dinafikan, Dominic Solanke adalah pemain muda yang mempunyai potensi. Liverpool bersedia untuk memberikan pentas buat Solanke membuktikan kebolehannya.

Kini terpulang buat Solanke untuk menyinar.

3. Bagaimana dengan peranan Daniel Sturridge?

Masa depan Daniel Sturridge di Anfield sering menjadi topik di media massa sejak daripada musim lalu lagi.

Penyokong Liverpool turut mempunyai pendapat yang berbeza tentang sumbangan pemain ini.

Namun seorang pundit daripada Sky Sport, Alan Smith mempunyai pendapatnya yang tersendiri mengenai Daniel Sturridge.

Smith berkata:

“Kekadang anda berfikir sama ada Sturridge benar-benar akan meninggalkan Liverpool pada musim panas ini.”

“Namun untuk membenarkan seorang pemain dengan kualiti yang dimiliki oleh Sturridge pergi, ia adalah keputusan yang mengecewakan.”

(Photo by Power Sport Images/Getty Images)

Sturridge berjaya mengancam kubu Palace walaupun tidak menjaringkan gol.

Dalam perlawanan menentang Palace, Sturridge menghasilkan satu kuisan menarik untuk Adam Lallana. Selebihnya, percubaan dari Sturridge seakan-akan tidak menjadi.

Sturridge tidak menghasilkan hasil yang diharapkan oleh Klopp. Sebagai seorang penyerang, Sturridge harus jelas bahawa prestasinya dinilai dengan jaringan gol.

Satu gol daripada 13 penampilan terakhir beliau, jelas tidak mencukupi untuk Liverpool. Daniel Sturridge perlu membuktikan sesuatu untuk meyakinkan Juergen Klopp jika berniat untuk kekal di Merseyside.

4. Apakah signifikan kehadiran Henderson kepada perancangan Klopp?

Juegen Klopp sebelum ini memberi amaran supaya tidak terlampau bergantung harap kepada Jordan Henderson yang baru sahaja kembali dari kecederaan.

Jordan Henderson mengalami kecederaan panjang dan berehat sejak Februari yang lalu.

Pada tahap kecergasan terbaiknya, Henderson adalah watak penting kepada konsistensi pasukan Merseyside itu.

Ramai yang beranggapan aksi tergelincir Steven Gerrard ketika perlawanan menentang Chelsea menyebabkan Liverpool kempunan untuk bergelar juara EPL pada musim 2013-2014.

(Photo by Victor Fraile/Getty Images

Lebih daripada itu, pergantungan 3 daripada baki 4 perlawanan Henderson pada penghujung musim turut menyumbang kepada merudumnya aksi Liverpool sehingga merelakan Manchester City bergelar juara pada musim tersebut.

Dalam perlawanan menentang Crystal Palace, Henderson sekali lagi membuktikan kualiti yang ada pada dirinya.

Hantaran-hantarannya mengingatkan kita kepada bekas kapten legenda, Steven Gerrard. Jelas Jordan Henderson adalah pemain yang sangat penting dalam perancangan Juergen Klopp untuk saingan pada musim hadapan.

5. Siapakah yang akan mengisi bek sayap kiri?

Semalam Liverpool telah mengesahkan Andrew Robertson akan menyertai mereka dengan yuran perpindahan bernilai £10 jua daripada Hull City.

Adakah pemain antarabangsa Scotland ini akan diberi kepercayaan di posisi bek sayap kiri Liverpool pada musim hadapan.

Masa depan Alberto Moreno di Anfield kelihatan sudah tiba ke penghujung. Untuk kebanyakkan perlawanan pada musim lalu, Klopp sering menggunakan James Milner di posisi tersebut.

(Photo by Ian Horrocks/Sunderland AFC via Getty Images)

Tidak dapat dinafikan bahawa Milner telah memperagakan aksi yang memberangsangkan di posisi bek sayap itu. Namun hakikatnya, Milner adalah seorang pemain tengah.

Kehadiran Roberson akan menghasilkan lebih banyak peluang serangan dari sisi sayap kiri pasukan The Kops.

Ia turut memberi pilihan kepada Klopp untuk menggunakan Milner di posisi lain.

Adalah sesuatu yang menarik untuk melihat perancangan Juergen Klopp untuk posisi bek kiri Liverpool pada kempen musim hadapan.

Rumusan

Apa pandangan penyokong Liverpool? Berpuas hatikah anda dengan persiapan kelab anda untuk saingan musim hadapan?

Mampukah Liverpool mendakap trofi untuk saingan pada 2017-2018?

Apakah penambahbaikkan yang masih perlu dilakukan? Nyatakan pendapat anda di ruangan komen. Kami mahu mendengar daripada anda!

Sumber:

1. Independet (2017): 5 things we learned as Liverpool beat Crystal Palace to reach Premier League Asia trophy final; http://www.independent.co.uk/sport/football/premier-league/liverpool-crystal-palace-premier-league-asia-trophy-dominic-solanke-naby-keita-a7849311.html

2. Michael Pott, Express (2017): Liverpool player ratings: Who impressed against Crystal Palace; http://www.express.co.uk/sport/football/830613/Liverpool-player-ratings-Crystal-Palace-PL-Asia-trophy-sportgalleries

3. Adam Bate, Sky Sport (2017): Liverpool 2-0 Crystal Palace: Five questions after Asia Trophy win; http://www.skysports.com/football/news/11669/10954215/liverpool-2-0-crystal-palace-five-questions-after-asia-trophy-win

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram