Senarai Perbuatan FAM & MFL Yang Boleh Buat Penyokong Muak

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) merupakan dua badan pentadbir tertinggi bola sepak yang berfungsi memartabatkan sukan bola sepak negara.

Namun baru sebulan Liga Malaysia 2021 berlangsung, sudah ada tindakan dari kedua-dua badan itu yang mengundang kritikan dan persoalan dari kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Perkara sebegini bukan pertama kali berlaku. Malah saban tahun FAM dan MFL sebenarnya tidak pernah lari dari kritikan. Tetapi kali ini isu-isu yang menjadi persoalan ibarat membuatkan ramai semakin muak, terutama dengan kenyataan-kenyataan dan tindakan yang hanya memberi lebih banyak persepsi negatif, berbanding untuk memartabatkan bola sepak negara.

Berikut kami senaraikan beberapa isu pada musim ini, kenyataan dan tindakan dari kedua-dua badan tersebut yang menimbulkan tanda soal di kalangan pengikut dan penyokong bola sepak tempatan.

Perjanjian dengan Spacelabs Technology

Sebelum musim bermula lagi kita sudah dikejutkan dengan perkhabaran penawaran kontrak oleh MFL kepada sebuah syarikat penyedia produksi , Spacelabs Technology Sdn. Bhd untuk tujuan penyediaan siaran langsung Liga Malaysia. Menurut pendedahan oleh The Vibes dalam sebuah artikel pada Disember lalu, kontrak tersebut mencecah nilai RM32 juta.

Perkara itu menjadi isu apabila kredibiliti Spacelabs dipersoalkan. Hasil semakan alamat pendaftaran di SSM pula merujuk kepada sebuah bangunan usang terletak di No. 38, Lorong Yap Hin, off Jalan Pasar ─ dimiliki dengan sahnya oleh ‘Syarikat Perniagaan Bee Kwong’, iaitu sebuah kedai gunting pakaian di Kuala Lumpur.

Timbul tanda tanya mengapakah sebuah syarikat berasaskan teknologi dan produksi menggunakan alamat kediaman, dan kedai jahit sebagai alamat pendaftaran operasi?

Wakil kami dari Semuanya BOLA pernah bertanyakan soalan ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL sendiri, Dato’ Ab Ghani Hassan ketika sidang media pelancaran Liga Malaysia 2021. Menafikan dakwaan The Vibes, beliau juga menegaskan pelantikan Spacelabs adalah untuk menjimatkan kos. Tiada kenyataan susulan membalas dakwaan oleh The Vibes oleh MFL dalam tempoh tiga bulan ini.

Berdasarkan kualiti penyiaran siaran langsung Liga Super yang anda saksikan sekarang, adakah anda berpuas hati dengan kualiti yang ditampikan. Kami percaya rata-rata penyokong kecewa dengan kualiti penyiaran.

Perlawanan Piala Sumbangsih

Perlawanan Piala Sumbangsih adalah antara perlawanan paling mencuri tumpuan di awal saingan Liga Malaysia kerana ia menandakan permulaan musim baharu Liga Malaysia. Perlawanan Piala Sumbangsih di negara kita sebenarnya mirip Supercopa des Espana di Sepanyol atau pun perlawanan Community Shield di England.

Bezanya di negara kita (Liga Malaysia) ia turut dianggap sebagai perlawana liga, dan bukan untuk merebut trofi semata-mata. Kebiasannya, ia diadakan di gelanggang juara liga walaupun ia turut pernah diadakan di gelanggang berkecuali pada 2012.

Sejak beberapa musim yang lalu terdapat cadangan dari penyokong agar pertandingan ini tidak dijadikan sebagai perlawanan liga. Turut dicadangkan ialah agar perlawanan Piala Sumbangsih diadakan di stadium berkecuali sepertimana Piala Komuniti di England.

Sebenarnya cadangan ini harus diambil secara serius oleh MFL. Perlawanan Piala Sumbangsih itu sendiri boleh menjadi produk pelaris Liga Malaysia.

Penganjuran Piala Sumbangsih di gelanggang berkecuali membenarkan pengagihan tiket perlawanan secara sama rata untuk penyokong dua pasukan bertanding dilakukan. Apabila ini dilakukan, suasana perlawanan bagaikan perlawanan akhir. Ia sudah pasti akan menyemarakkan lagi kemeriahan Liga Malaysia sejak dari hari pertama lagi.

Malah MFL boleh mengubah format perlawanan Piala Sumbangsih seperti Supercopa desn Espana di Sepanyol yang diadakan secara timbal balik, sekiranya ia lebih memudahkan penyokong kedua-dua pasukan.

Tiada pihak yang rugi di sini, melainkan keuntungan dari segi publisiti kepada MFL dan hasil kutipan tiket yang djana oleh setiap pasukan bertanding. Mengapa cadangan ini tidak dihiraukan atau tidak dipertimbangkan langsung, kami pun tidak pasti sebabnya.

Isu pengadilan

Isu pengadilan turut tidak lari dari menghiasai 30 perlawanan Liga Malaysia yang dilalui setakat ini. Perlawanan membabitkan Kelantan vs Perak II FC pada minggu pertama saingan Liga Premier, kontroversi melibatkan pengadil datang menghiasi hampir setiap pusingan Liga Malaysia.

Turut dipalit isu pengadilan ialah perlawanan menentang PJ City vs Melaka United (10hb Mac 2021), Sabah FC vs Terengganu FC (21hb Mac 2021) dan Perak FC vs JDT (21 Mac 2021).

FAM mengambil pantas bertindak dengan mengenakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta selain pengadil berkenaan turut dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi.

Menurut kenyataan daripada FAM, pengadil terlibat hanya kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah dan hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan.

Tetapi bagaimana pergantungan tersebut dilakukan serta merta selama dua minggu tatkala liga bola sepak sedang berehat untuk memberi laluan kepada skuad kebangsaan? Untuk rekod, saingan Liga Malaysia sendiri akan berehat selama 12 hari sehingga perlawanan pusingan ke-6 pada 2 April akan datang.

Merujuk pengadil kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi juga adalah langkah yang baik. Namun apakah langkah jangka masa panjang oleh FAM atau MFL dalam usaha melahirkan pengadil perlawanan berkualiti tinggi?

Usaha memartabatkan profesion pengadilan bukan sekali dua sahaja pernah dibicarakan dalam kancah bola sepak Malaysia. Tidak perlu pergi jauh. Pada 2019, pihak MFL sendiri telah menubuhkan Professional Match Officials Malaysia (PMOM) yang merupakan sebuah badan yang diharap akan menjurus kepada wujudnya kerjaya pengadil bola sepak profesional di negara kita.

Selepas hampir tiga tahun, berapa ramai pengadil profesional telah dilahirkan?

Pengurusan persepsi lemah

baru-baru ini MFL menegaskan tiada unsur pilih kasih atau ‘double standard’ kepada mana-mana pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M). Dengan kata lain tiada kelab akan terlepas sekiranya melakukan kesalahan.

“Tiada ‘double standard’ kerana mungkin sebab itu pandangan masing-masing. Sekiranya pasukan melakukan kesalahan, MFL akan menghantar surat tunjuk sebab tetapi kita tidak bolehlah siarkan di mana-mana platform,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan sendiri beberapa hari yang lalu.

Apa yang Ab Ghani katakan melalui kenyataan di atas sememangnya perkara yang wajar. Sebagai badan penganjur, MFL tidak seharusnya mempunyai elemen ‘double standard’ dalam melaksanakan tugas mereka. Tetapi kenyataan seterusnya agak mengejutkan.

“Perkara ini berlaku walaupun JDT membuat kesalahan, kita menghantar (surat tunjuk sebab) dan menunggu jawapan. JDT pun pernah didenda juga tetapi kita tak cakap,” tambah beliau.

Walaupun kenyataan oleh beliau ini dilihat sebagai contoh (tanpa rasa prejudis), kenyataan ‘JDT pun pernah didenda juga tetapi kita tak cakap’ ini sudah cukup untuk menafikan kenyataan pertama sebelum ini. Dan kenyataan sebegini hanya akan menimbulkan persepsi tidak baik di kalangan penyokong bola sepak tempatan. Mengapa pula hukuman untuk pasukan lain sebelum ini diwar-warkan?

Apabila persepsi tidak baik mulai timbul, maka integriti MFL turut akan dipersoalkan. Bukankah itu hanya membawa keburukkan dalam usaha menjadikan saingan bola sepak tanah air sebagai industri yang disegani?

Penutup

Artikel ini bukan bertujuan untuk menuding jari atau menyalahkan FAM dan MFL semata-mata. Sebagai media, antara tugasan kami ialah untuk melakukan check and balance selain mewakili suara penyokong.

Jika bola sepak kita maju, kami tumpang bangga. Jika bola sepak kita jatuh, kita semua tanggung malu. Ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Dan kami akhiri artikel ini dengan serangkap pantun:

Anak haruan mudik berenam,
Lumba-lumba menyusul tebing;
Sama mencecah si hati kuman,
Susah senang sama membimbing

 

 

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel menarik lain mengenai MFL melalui pautan di bawah:

Tindakan MFL Sehingga Batalkan Piala FA Dilabel Sebagai ‘Pemalas’

3 Persoalan Perlu Dijawab MFL Selepas Pendedahan Oleh The Vibes

MFL Pinda Perlembagaan, Presiden Boleh Dipilih Bukan Dalam Kalangan Ahli Lembaga Pengarah

LaLiga Sedia Kongsi Maklumat Berhubung SOP Liga Dengan MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN