Senarai Penyerang Berbisa Bertukar “Lemau” Selepas Disambar Chelsea

Chelsea tidak menyembunyikan niat mereka untuk mendapatkan seorang penyerag baharu bagi menghadapi saingan musim hadapan.

Pada minggu lalu, laporan dari Jerman mendedahkan Roman Abramovich telah menyediakan dana untuk meneruskan impian mendapatkan Haaland pada nilai £150 juta. Chelsea masih perlu menawarkan mana-mana pemain seperti Hakim Ziyech, Callum Hudson-Odoi atau Tammy Abraham sebagai sebahagian daripada perjanjian.

Khamis lalu Sky Sports Jerman mendakwa Dortmund telah menolak tawaran pembukaan oleh Chelsea untuk Haaland – yang melibatkan tunai (£150 juta) dan salah seorang pemain, iaitu Abraham atau Hudson-Odoi.

Ini menyebabkan Chelsea turut mempertimbangkan bintang Bayern Munich dan Poland, Robert Lewandowski yang mempunyai reputasi mesin gol di Bundesliga.

Di dalam keghairahan Chelsea mengejar penyerang-penyerang bertaraf dunia, ayuh kita imbau kembali 10 penyerang yang memiliki reputasi sama (atau hampir) namun gagal menyerlah selepas berhijrah ke Stamford Bridge.

Andriy Shevchenko

Andriy Shevchenko wajar menjadi nama pertama kita bincangkan. Bukannya setiap musim kelab yang anda sokong membeli seorang pemain dengan gelaran Ballon d’Or. Pemenang Ballon d’Or pada 2004 ini menyertai Chelsea pada musim 2006/07 pada nilai 44 juta euro.

Namun pemain berasal dari Ukraine ini gagal menyesuaikan diri dengan cabaran di Liga Perdana Inggeris, dan hanya beraksi selama semusim untuk Chelsea.

Sepanjang tempoh itu, Shevchenko hanya menjaringkan lima gol, dan menghasilkan satu assist dari 15 penampilan yang beliau lakukan.

Fernando Torres

Chelsea membayar 58.6 juta euro pada 2010 untuk membeli penyerang Sepanyol ini dari Liverpool. Di Anfield, Torres dikenali sebagai mesin gol dan dilabel sebagai antara penyerang paling tajam pernah beraksi di Premier League.

Di sebalik reputasi hebat itu, Torres ibarat hilang sentuhan bersama The Blues.

Berjaya menjaringkan 45 gol dari 172 penampilan, Torres hanya menghasilkan ratio 0.26 gol di setiap perlawanan bersama Chelsea

Alvaro Morata

Selepas Torres, ianya giliran Alvaro Morata yang tiba dari Real Madrid dengan tanda harga 66 juta euro pada 2017.

Morata gagal menyerlah walaupun menjaringkan 11 gol pada musim pertamanya.

Selepas menampilkan prestasi tidak seperti diharapkan pada musim kedua, Chelsea menjual pemain itu kepada Atletico Madrid.

Gonzalo Higuain

(Photo by Romena Fogliati/Offside/Getty Images)

Tiba di Stamford Bridge secara pinjaman dari Juventus pada Januari 2019, Higuain dengan beraninya menyarung jersi No.9 Chelsea yang terkenal dengan sumpahan penyerang-penyerang yang pernah memakainya sebelum itu.

Chelsea diberi pilihan untuk menandatangani pemain itu secara tetap dengan tanda harga €36 juta, atau menyambung sahaja tempoh pinjaman dan membayar separuh dari nilai tersebut.

Chelsea tidak memilih kedua-dua pilihan yang ditawarkan Juventus. Higuain hanya mampu menyumbang lima gol dari 14 penampilan di Premier League, dan Chelsea tidak perlu memberi penjelasan lain kepada Juventus.

Radamel Falcao

Selepas tempoh pinjaman yang tidak membuahkan hasil bersama Manchester United, Falcao diberi satu lagi peluang untuk membuktikan diri di Premier League bersama Chelsea pada musim 2015/16.

Namun demikian sekali lagi tempoh pinjaman tersebut sekali lagi gagal, dan ia bukan perkara mengejutkan Chelsea enggan menjadikan perpindahan Falcao sebagai tetap pada penghujung musim.

Dengan gaji setinggi £140,000 seminggu, Falcao memaksa Roman Abramovich membayar £800,000 untuk setiap percubaan yang dilakukannya dan £57,000 untuk setiap sentuhan pemain itu lakukan.

Sepanjang bersama Chelsea, Falcao hanya melakukan 12 penampilan dan menjaringkan 1 gol.

Hernan Crespo

Hernan Crespo menjaringkan 13 gol pada musim pertamanya di Stamford Bridge, namun jumlah itu tidak cukup untuk meyakinkan Jose Mourinho pada 2014.

Penyerang dari Argentina itu kemudiannya dipinjamkan ke AC Milan selepas Jose Mourinho berjaya memancing Didier Drogba untuk musim seterusnya.

Dan selepas kembali ke Chelsea, Crespo menjaringkan 13 gol lagi untuk membantu The Blues menjuarai liga pada musim 2005/06.

Crespo menyertai Inter Milan selama dua tahun secara pinjaman sebelum kontrak beliau bersama Chelsea tamat sepenuh pada 2008.

Mateja Kezman

Mateja Kezman adalah salah seorang penyerang terawal yang dibawa masuk oleh Jose Mourinho sebagai pengurus Chelsea.

Namun pemain ini jarang mendapat peluang untuk beraksi dan sentiasa berada di belakang kelibat Didier Drogba dan Eidur Gudjohnsen di bangku pemain simpanan.

Kezman hanya berjaya menghasilkan tujuh gol dari 40 penampilan sebelum meninggalkan Chelsea selepas hanya semusim bersama.

Franco Di Santo

Franco Di Santo menyertai Chelsea pada usia 18 tahun dan tidak pernah beraksi sebagai pemain kesebelasan utama untuk kelab itu.

Penyerang dari Argentina itu juga gagal menjaringkan sebarang gol melalui 16 penampilan yang dilakukannya dari bangku pemain simpanan.

Turut gagal menyerlah selepas dipinjamkan ke Blackburn, Di Santo kemudiannya dijual ke Wigan pada 2010 dengan nilai £2 juta.

Chris Sutton

Empat tahun selepas menjuarai Premier League, Blackburn jatuh dari divisyen utama liga Inggeris itu menyebabkan Chris Sutton mencari haluan lain dengan berpindah ke Chelsea.

Merupakan gandingan kepada Alan Shearer ketika Blackburn mengejutkan bola sepak Inggeris pada musim 1994/95, Chelsea membayar £10 juta untuk mendapatkan khidmat Sutton dari Blackburn.

Namun demikian tempoh Sutton bersama Chelsea adalah antara yang kelab dan pemain itu mahu lupakan sendiri. Sutton bertahan bersama Chelsea selama semusim, dan menyumbangkan hanya satu gol. Beliau kemudian dijual ke Celtic pada musim berikutnya.

Samuel Eto’o

Selepas beraksi di Rusia buat seketika, Eto’o mengejutkan ramai dengan perpindahan ke Chelsea pada musim panas 2013. Pada usia 32 tahun, bekas penyerang Barcelona itu menandatangani kontrak selama setahun sahaja. Amat jelas tempoh terbaik Eto’o sudah pun berlalu.

Kegagalan Fernando Torres dan Demba Ba di bahagian hadapan hanya memberikan tekanan berlebihan kepada Eto’o. Beliau sempat menjaringkan beberapa gol penting untuk Chelsea seperti dalam perlawanan menentang Cardiff, Tottenham, Schalke dan hatrik berhadapan Manchester United.

Ia membuktikan Eto’o sememangnya adalah pemain berkelas dunia, namun ia tidak cukup konsisten untuk Chelsea. Eto’o kemudian menyertai Everton pada musim berikutnya dengan kontrak dua tahun, namun meninggalkan kelab itu selepas hanya separuh musim.

Alexandre Pato

Alexandre Pato mengambil masa berbulan lamanya untuk melakukan penampilan pertama bersama Chelsea selepas menandatangani kontrak selama enam bulan secara pinjaman.

Debut beliau tiba pada 2 April menentang Aston Villa sebagai pemain gantian kepada Loic Remy yang mengalami kecederaan pada babak pertama. Beliau berjaya mendapatkan penalti, dan menyempurnakan sepakan tersebut dalam perlawanan ini.

Gol tersebut menjadikan Pato pemain Brazil keenam menjaringkan gol di Premier League pada penampilan pertama. Selepas hanya separuh musim dan dua penampilan sahaja, Chelsea pulangkan kembali pemain ini ke Corinthians.

Timo Werner

Timo Werner
(Photo by Glyn Kirk/Pool via Getty Images

Mungkin agak awal untuk menilai Timo Werner selepas hanya semusim bersama Chelsea namun pemain ini jelas sekali mengalami musim sukar di Premier League pada musim lalu.

Selepas menjaringkan 28 gol dari 34 penampilan bersama RB Leipzig di Bundesliga pada musim sebelumnya, Werner hanya mampu menjaringkan enam gol dari 35 penampilan untuk The Blues di Premier League pada musim lalu.

Kerap dikritik kerana sentiasa melepaskan peluang keemasan, Werner masih berpeluang menebus kelesuan musim lalu pada musim ini bersama pengendali baharu Thomas Tuchel.

Penutup

Apakah nasib Haaland atau Robert Lewandowski sekiranya menyertai Chelsea? Mampukah mereka mengulangi kehebatan masing-masing bersama Chelsea?

Atau adakah nasib mereka akan berakhir seperti senarai pemain di atas?

Baca artikel menarik lain mengenai bola sepak antarabangsa:

Belum Pun Sah Sertai Man Utd, Raphael Varane Sudah Kena Troll Penyokong Lawan

3 Sebab Nagelsmann Perlu Yakin Patrik Schick Pengganti Terbaik Lewandowski Di Bayern Munich

9 Penjaga Gol Di PSG, Donnarumma Bakal Dipinjamkan Ke Kelab Lain?

Leave a Reply