Senarai Pasukan Yang Akan Undi ‘Ya’ Untuk Batalkan Premier League

Usul batalkan Premier League mungkin sesuatu yang akan dibincangkan oleh kelab-kelab Premier League jika penularan wabak COVID-19 akan berlanjutan melewati 3 April.

Bola sepak Inggeris ketika ini sedang ditangguhkan buat sementara waktu sehingga 3 April. Ini adalah sebagai usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19 di United Kingdom.

Setakat waktu artikel ini ditulis, wabak pandemik ini telah mencatat 1,372 kes positif daripada 40,279 orang yang diuji. 35 daripadanya telah meninggal dunia.

Niat asal Premier League adalah untuk menyambung semula aksi musim 2019/2020 selepas tarikh 3 April. Ini bermakna liga akan berlanjutan melebihi bulan Mei. Premier League pada musim ini asalnya dijadulkan tamat pada 17 Mei.

Tetapi Premier League mungkin terpaksa memikirkan pilihan lain jika penularan wabak COVID-19 masih tidak reda hingga menyebabkan ia berlanjutan melebihi 8 Ogos – iaitu tarikh pembukaan musim 2020/2021 pula.

Antara pilihan yang akan dipertimbangkan Premier League adalah batalkan liga terus. Dijangka pilihan ini akan menerima sokongan paling banyak dari kelab-kelab Premier League.

Memandangkan Premier League merupakan sebuah syarikat swasta yang dianggotai oleh 20 pemegang syer yang terdiri daripada 20 kelab Premier League, ia memerlukan majoriti dua pertiga – atau 14 pasukan – untuk melakukan sebarang perubahan peraturan.

Pasukan manakah yang akan menyokong usul batalkan Premier League? Pasukan manakah yang akan menentang usul batalkan Premier League?

Sokong usul batalkan liga

1. Norwich City

Dengan hanya 21 mata daripada 29 perlawanan setakat ini, Norwich sedang terperosok di tangga terbawah liga. Hanya keajaiban yang mampu menyelamatkan nasib mereka ketika ini. Mungkin wabak COVID-19 adalah keajaiban yang mereka harap-harapkan pada musim ini.

2. Aston Villa

Hanya empat mata di hadapan Norwich, Aston Villa masih perlu menentang Chelsea, Liverpool dan Manchester United dalam baki 10 perlawanannya.

3. Bournemouth

Dua mata di hadapan Aston Villa, Bournemouth berdepan dengan risiko terhumban ke Championship buat kali pertama sejak 2015.

4. Watford

Seminggu selepas ditewaskan Manchester United 0-3, Watford mencipta kejutan menewaskan Liverpool dengan jaringan sama. Ketika penyokong menyangka kemenangan terkenal ini boleh menjadi pencetus kenaikan prestasi, Watford tewas pula 0-1 kepada Crystal Palace kemudian. Kegagalan mengekalkan konsistensi adalah masalah Watford yang mahu dilupakan mereka ada musim ini.

5. West Ham

Kini berada di tangga ke-16 liga, West Ham hanya dibezakan daripada kelompok tiga pasukan terbawah dengan perbezaan jaringan. Pembatalan liga bererti West Ham terselamat dari bahaya penyingkiran.

6. Brighton & Hove Albion

Dalam 10 perlawanan liga terakhir mereka, Brighton hanya menang sekali. Kali terakhir mereka mengutip 3 mata penuh adalah pada 28 Disember lepas, menang 2-0 menentang Bournemouth.

7. Southampton

Hanya 1 kemenangan dalam 5 perlawanan terakhir menyukarkan Southampton untuk keluar dari zon bahaya penyingkiran. Mereka perlu menjamin tempat di Premier League selepas baru sahaja mengumumkan kerugian besar dalam tahun kewangan terbaru.

8. Newcastle United

Hanya 5 mata diperlukan Newcastle untuk menjamin keselamatan daripada bahaya penyingkiran liga. Tetapi jika ada cara lebih awal dan mudah untuk menjamin status Premier League mereka, The Magpies tidak akan teragak-agak untuk mengambilnya.

9. Arsenal

Pembatalan liga bermakna mereka boleh bermain di Champions League jika Mahkamah Arbitrasi Sukan (CAS) mengekalkan keputusan mengharamkan penyertaan Manchester City.

Ini kerana Arsenal yang berada di tangga ke-5 liga pada musim 2018/2019 akan menggantikan slot City di Champions League.

10. Tottenham

Tottenham Hotspur yang sedang berhadapan dengan krisis kecederaan juga akan mengalu-alukan cadangan Premier League batalkan liga terus. Ini kerana ia menjamin tempat mereka di Champions League pada musim depan selepas menduduki tangga ke-4 liga pada musim 2018/2019.

11. Chelsea

Sokong usul ini bermakna slot Champions League Chelsea akan terjamin berdasarkan kedudukan akhir liga pada musim 2018/2019. Pada musim ini, The Blues mempunyai tiga kelab yang dijarakkan oleh lima mata di belakang mereka untuk merebut slot Champions League.

Bantah usul batalkan liga

1. Liverpool

Hanya perlukan dua kemenangan sahaja untuk Liverpool mengesahkan kejuaraan liga pertama dalam masa 30 tahun. Pembatalan liga akan membuatkan orang melupakan dominasi agung yang mereka tampilkan.

2. Leicester City

Selepas sekadar menduduki tangga ke-9 pada musim 2018/2019, Leicester sudah tentunya mahu penambahbaikan yang mereka tampilkan pada musim ini tidak menjadi sia-sia. Mereka juga mempunyai prospek kembali bermain di Champions League selepas musim 2016/2017.

3. Manchester United

Prospek bermain di Champions League pastinya tidak mahu dilepaskan oleh The Red Devils. Apatah lagi bila Adidas mengancam untuk memotong 30% tajaan mereka bernilai £750 juta jika United gagal layak ke Eropah dua musim berturut-turut.

4. Wolverhampton Wanderers

Pembatalan liga akan memaksa Wolves melalui peringkat kelayakan Europa League yang melecehkan. Pada musim ini mereka ada peluang realistik untuk merebut kelayakan ke Champions League pula.

5. Sheffield United

Impian pasukan yang setahun lepas bergelumang di EFL Championship untuk bermain di Eropah akan hancur jika liga dibatalkan.

Atas pagar:

1. Manchester City

Manchester City tidak mendapat apa-apa faedah jika menyokong dan menentang usul ini. Cuma jika mereka menyokong usul pembatalan liga, sedikit inisiatifnya adalah mereka dapat mengekalkan kejuaraan liga.

2. Everton

Tiada apa-apa faedah bakal diperolehi oleh Everton jika liga dibatalkan atau tidak. Tetapi undi mereka mungkin boleh condong ke arah sokong – hanya untuk melihat jiran mereka, Liverpool kempunan.

3. Burnley

4. Crystal Palace

Baca juga artikel kami yang lain mengenai usul pembatalan Premier League yang disebabkan oleh wabak COVID-19:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram