Senarai Lima Pemain Paling Berprestasi Dalam Saingan La Liga

Senarai lima pemain paling berprestasi dalam saingan La Liga telah didedahkan dengan kesemua pemain tersebut tidak dinafikan antara yang terbaik dari yang terbaik.

Saingan La Liga musim 2021/22 dianggap antara yang paling sengit setakat ini, dengan kesemua pasukan mempamerkan aksi turun naik.

Selepas mengharungi lapan perlawanan awal, masih belum ada pasukan yang mendominasi dan langsung tiada gambaran pasukan mana boleh dianggap pilihan utama untuk bergelar Juara.

Real Madrid, Atletico Madrid dan Real Sociedad merupakan pendahulu saingan La Liga setakat ini, dengan kesemua mereka mengumpul 17 mata dari lapan perlawanan.

Sevilla pula berada di kedudukan keempat dalam carta liga dengan mengumpul 14 mata, namun mempunyai kelebihan satu perlawanan yang belum dimainkan.

Seandainya mereka berjaya mengutip tiga mata dari perlawanan tersebut, maka Sevilla juga bakal berada di kedudukan teratas liga dengan mengumpul 17 mata.

Satu-satunya pasukan yang agak mengejutkan peminat seluruh dunia adalah Barcelona, dengan gergasi Catalan itu ketika ini berada di kedudukan kesembilan dalam carta liga.

Barcelona hanya mampu mengumpul 12 mata dari tujuh perlawanan, dengan mereka hanya mencatatkan dua kemenangan sahaja dari lima perlawanan terakhir dalam saingan La Liga.

Aksi terakhir mereka setakat ini adalah kekalahan 2-0 di tangan Atletico Madrid, dengan seteru utama mereka, Real Madrid turut mencatatkan kekalahan mengejutkan 2-1 di tangan Espanyol pada hari yang sama.

Jelas sekali saingan La Liga pada musim ini sangat sengit dengan beberapa pemain berjaya menonjol selepas mempamerkan aksi yang sungguh menakjubkan.

Berikut merupakan senarai lima pemain paling menonjol dalam saingan La Liga setakat ini.

5) Jose GImenez – Atletico Madrid

Atletico Madrid merupakan sebuah pasukan yang dianggap paling kental dalam saingan La Liga kerana memiliki pemain pertahanan yang hebat.

Musim ini, ia jelas tiada bezanya dengan musim-musim sebelum ini, dengan Jose Gimenez berjaya mengetuai barisan pertahanan Los Rojiblancos dengan sangat cemerlang.

Skuad kendalian Diego Simeone itu hanya bolos enam gol sahaja dari lapan perlawanan terakhir mereka dalam saingan La Liga, dengan Gimenez memainkan peranan penting sebalik kejayaan tersebut.

Kehadiran Gimenez sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada barisan pertahanan Atletico Madrid, dengan beliau juga sangat bagus dalam perebutan bola di udara.

Gimenez juga mempunyai kemampuan tackle yang cukup menakjubkan dan tidak dinafikan beliau pakar dalam menutup ruang untuk pasukan lawan masuk ke kawasan bahaya.

Dengan Savic dan Hermoso berada di sisi beliau, Gimenez dilihat seperti semakin bagus dan tenang pada musim ini berbanding musim sebelum ini.

Pemain kebangsaan Uruguay itu jelas sekali merupakan antara pemain terbaik Atletico Madrid pada ketika ini, dan beliau bakal menjadi kunci kepada kejayaan kelab musim ini.

4) Marcos Acuna – Sevilla

Marcos Acuna telah menjadi antara pemain terpenting untuk skuad kendalian Julen Lopetegui dalam saingan La Liga pada musim ini.

Pemain berusia 29 tahun itu turut dianggap sebagai pemain left-back terhebat dalam saingan bola sepak Sepanyol pada ketika ini.

Acuna sangat kental di posisi pertahanan dengan beliau berjaya membantu Sevilla untuk mencatatkan empat clean sheet dari tujuh perlawanan dalam saingan liga.

https://twitter.com/JoyontaRJ/status/1443420294354333702?t=TsG92LnOyXQ0qoWSGUEkhA&s=19

Kecemerlangan pemain kebangsaan Argentina itu berjaya membantu Sevilla untuk hanya bolos tiga gol sahaja setakat ini.

Barisan pertahanan Sevilla dianggap yang terbaik secara keseluruhannya pada musim ini dengan Acuna menjadi kunci sebalik kejayaan mereka.

3) Vinicius Junior – Real Madrid

Vinicius Junior sedang menikmati permulaan musim yang terbaik dalam kariernya pada ketika ini, dengan bintang muda Brazil itu berada di kedudukan ketiga senarai penjaring terbanyak saingan La Liga.

Beliau berjaya menjaringkan lima gol, dan pemain penyerang kedua terbaik Real Madrid itu juga turut cemerlang mencatatkan tiga assists setakat ini.

Pemain berusia 21 tahun itu berjaya membentuk gandingan yang sangat mantap bersama Karim Benzema di bahagian jentera serangan Real Madrid.

Kedua-dua mereka berjaya mempamerkan aksi yang lebih baik berbanding musim sebelum ini. Kelajuan dan tenaga yang Vinicius miliki membantu beliau untuk dominan di bahagian sayap kiri.

Melihat kepada aksinya pada musim ini, Real Madrid sepertinya sudah tidak perlu memikirkan masalah di posisi tersebut untuk tempoh masa yang lebih panjang.

Kesemua gol dan assists yang beliau catatkan adalah ketika beraksi dalam enam perlawanan awal saingan La Liga, dengan dua perlawanan terakhir ini, beliau sedikit lemau.

2) Mikel Oyarzabal – Real Sociedad

Mikel Oyarzabal tidak dinafikan sedang berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini, dengan beliau berjaya membantu Sociedad untuk berada di kelompok teratas dalam carta La Liga.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu dilihat sangat berkesan di hadapan gol, dengan beliau setakat ini sudah berjaya menjaringkan enam gol dan turut mencatatkan satu assists dari lapan perlawanan.

Pemain berusia 24 tahun itu konsisten memberi masalah serta ancaman ke kubu pasukan lawan, dengan beliau benar-benar mendominasi bahagian sayap dengan sangat cemerlang.

Kemampuan beliau dalam mencari ruang dan membuat larian merbahaya di sudut sebelah kiri berjaya untuk membantu jentera serangan Sociedad.

Oyarzabal juga turut mempunyai kemampuan hantaran yang sungguh menakjubkan dan dengan segala kelebihan yang beliau miliki, tidak dinafikan beliau antara pemain sayap terbaik yang ada dalam saingan La Liga pada ketika ini.

Para peminat sangat teruja untuk terus melihat Oyarzabal membantu Sociedad untuk pergi lebih jauh pada musim ini, dengan beliau sudah membuktikannya dari lapan perlawanan awal ini.

1) Karim Benzema – Real Madrid

Dengan menjaringkan sembilan gol dan turut mencatatkan tujuh assist dari lapan perlawanan awal dalam saingan La Liga, Karim Benzema jelas antara pemain paling berprestasi pada ketika ini.

Beliau bukan hanya pemain terbaik dalam saingan La Liga, namun Benzema tidak dinafikan merupakan pemain paling berprestasi dalam kesemua lima liga utama Eropah pada ketika ini.

Dengan bantuan dari Vinicius Junior dan Eden Hazard di bahagian hadapan, Benzema berjaya mempamerkan aksi persembahan cukup mantap sepanjang musim ini.

Pemain penyerang Perancis itu merupakan kunci utama sebalik kejayaan Los Blancos pada ketika ini, dengan beliau cemerlang membawa Real Madrid untuk berada di puncak saingan La Liga.

Beliau bukan hanya tajam untuk menjaringkan gol, Benzema juga sangat merbahaya dalam membuka ruang kepada rakan sepasukannya untuk menghasilkan gol.

Masih tidak pasti adakah beliau mampu mengekalkan tahap persembahan yang sama sepanjang musim ini, atau prestasi beliau akan semakin menurun selepas ini.

Namun satu hal yang pasti, Benzema benar-benar sedang berada di rentak persembahan terbaiknya pada ketika ini, dan juga pemain terpenting dalam sistem kendalian Carlo Ancelloti.

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN