Sembilan Ahli Gabungan Telah Disingkirkan Daripada KLFA

Gara-gara kerana sengaja menimbulkan masalah sehingga mengakibatkan kongres pemilihan sehingga tertangguh sejak Disember tahun lepas, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bertindak memecat 9 ahli gabungannya.

Menurut kenyataan daripada Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Siasatan mendapati sembilan ahli gabungan tersebut telah melanggar statut persatuan yang tidak mengikut saluran betul untuk menyuarakan aduan atau isu berbangkit.

“Kemelut yang melanda KLFA sejak Disember lalu sedikit sebanyak mengganggu perancangan pasukan. Biarpun ada saluran yang disediakan untuk ahli gabungan menyuarakan pandangan atau aduan, mereka sebaliknya melanggar status persatuan.

“Bagi menjalankan siasatan, kita menubuhkan Jawatankuasa Siasatan untuk mengetahui masalah. Kita dah bagi surat tunjuk sebab selama 14 hari untuk mengetahui masalah tetapi tak ada seorang pun yang membalas surat berkenaan.

“Tapi kita tetap bagi peluang kedua sebab nak tahu juga apa masalah sebenarnya. Tapi sama juga, daripada sembilan hanya satu ahli gabungan yang bersuara.

“Jadi kita berpandangan mereka tidak sehaluan lagi dan memecat keahlian mereka. Daripada 31 ahli gabungan tetap kita kini tinggal 21, dengan 31 lagi ahli bersekutu untuk menjadikan 52 ahli KLFA,” katanya dalam Harian Metro

FOTO: Stadium Astro

Difahamkan sembilan ahli gabungan itu ialah Kelab bola sepak Sime Darby, VI Institution, Bukit Bandaraya, Bank Rakyat, Kelab bola Depak Putrajaya, Petaling Putra, FELCRA, UNIKL dan Subadron Akademi.

Tahun lepas, KLFA berdepan kemelut pencalonan bagi merebut jawatan menyebabkan Kongres ke-31 persatuan itu terpaksa ditangguhkan.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman yang menjelaskan penangguhan kongres itu wajar dilakukan untuk memberi ruang kepada proses siasatan lanjut dan pendengaran dilakukan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Presiden KLFA mendesak kongres itu ditangguhkan buat seketika memandangkan ia mengandungi banyak unsur meragukan.

Malah, Rashid juga mahu membawa kes itu kepada Jawatankuasa Integriti FAM selepas mendakwa memiliki bukti kukuh unsur paksaan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KLFA bagi penggal 2018-2022.

Beliau juga terkejut apabila pencalonan yang diterimanya hanya 12 berbanding 16 pada peringkat awal dan bukti kukuh adalah berdasarkan salinan borang pencalonan semua ahli gabungan yang menyokongnya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram