Selepas Kontroversi MSL, Faizal Azumu Mahu FAM Rancakkan Industri Bola Sepak

Faizal Azumu

Selepas isu melibatkan beliau baru-baru ini mengenai Liga Super, Menteri Belia & Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mahu industri bola sepak Malaysia dirancakkan.

Menurut laporan Kosmo!, Faizal menyarankan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memberikan dua fokus kepada kemajuan sukan tersebut di negara ini.

Pertama adalah memperkasa landskap bola sepak negara secara amnya terutamanya melibatkan projek di peringkat akar umbi.

Selain itu, kelestarian ekosistem bola sepak negara juga diperlukan untuk memastikan industri ini akan terus relevan.

Hasrat itu disuarakan beliau selepas menghadiri lawatan kerja ke Wisma FAM di Kelana Jaya baru-baru ini.

Dalam lawatan kerja tersebut, Faizal yang disambut oleh Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin serta Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee turut diterangkan mengenai pelan F:30 yang diatur badan induk bola sepak negara itu.

Faizal berharap FAM dapat mencari jalan agar bola sepak ini dapat ‘dikembalikan’ semula kepada rakyat dan semua pihak boleh menikmatinya tidak kira siapa.

“Saya menyarankan agar pihak FAM melihat saingan liga di peringkat akar umbi untuk membolehkan pendapatan dijana.”

“Ianya secara langsung dapat memberikan peluang pekerjaan kepada bekas pemain untuk memperoleh mata pencarian.”

Sebelum ini, Faizal terlibat dalam kontroversi Liga Super yang menyaksikan beliau cuba menyelamatkan Perak daripada jatuh ke Liga Premier.

Beliau kemudiannya memohon maaf selepas sebuah video mengenai perkara itu tersebar di media sosial.

Faizal yang sebelum ini adalah penasihat khas kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yasin sebelum diangkat sebagai Menteri Belia & Sukan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply