Selepas Jalani Dua Pembedahan, Hafizul Hakim Berjanji Akan Kembali Lebih Cemerlang Musim Ini

Pernah menggegarkan arena bola sepak negara dengan kecekapannya mengawal gawang gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy telah mencipta nama dengan pantas sehingga beberapa kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Tetapi pada musim lepas, sentuhan emas penjaga gol utama Perak itu ‘hilang’ entah ke mana. Lebih buruk lagi, beliau telah melakukan beberapa kesilapan yang mengakibatkan pasukannya tewas dalam perlawanan-perlawanan penting.

Namun apabila timbul berita pada bulan lepas bahawa beliau telah selesai menjalani pembedahan lasik untuk merawat matanya yang mengalami masalah silau yang tinggi, barulah orang ramai tahu isu sebenar yang membelenggui dirinya sebelum ini.

Selain itu, pemain kelahiran Ipoh, Perak berkenaan juga telah selesai membuat pembedahan pada lutut kanannya untuk membaiki koyakan meniskus pada sendi lutut di mana beliau mendapat kecederaan tersebut pada penghujung musim lepas.

Untuk Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020, Hafizul Hakim telah pun memasang tekad untuk memastikan semua orang melihat beliau kembali ke prestasi terbaiknya. Tambahan pula selepas menjalani rawatan tersebut, matanya kini sudah boleh melihat dengan jelas!

“Saya tidak menyertai latihan penuh pra-musim kerana saya sedang tumpu kepada pemulihan bagi dua pembedahan. Tetapi saya yakin mampu bebas dari sebarang isu kesihatan sebelum musim bermula,” katanya sewaktu ditemubual The Star.

“Saya dah lama nak buat pembedahan lasik ini, tetapi sebelum ini saya tiada masa kerana jadual liga yang terlampau padat. Jadi bulan Disember lepas saya ada masa, jadi saya telah selesaikannya.

“Doktor mengatakan tahap silau saya terlampau tinggi dan rawatan itu akan bantu mengurangkannya. Tempoh pemulihan bergantung kepada individu. Ia mungkin mengambil masa sebulan sehingga tiga bulan. Tetapi saya yakin akan kembali bersama pasukan pada bulan depan.” kata penjaga gol berusia 26 tahun itu.

Sekalipun beliau telah membantu perak menjuarai Piala Malaysia pada 2018 dan mara ke perlawanan akhir Piala FA pada 2019, Hafizul beranggapan tempoh selama dua tahun ini amat mencabar dengan prestasinya tidak konsisten di mana beliau telah dikecam oleh segelintir penyokong di atas beberapa kesilapan yang dilakukannya.

Mungkin ramai yang terkejut apabila beliau boleh melepaskan gol hasil dari sepakan percuma dari tengah padang oleh pemain pertahanan Pahang, Herold Goulon dalam perlawanan separuh akhir pertama saingan Piala FA musim lepas. Ianya sudah tentu amat sukar untuk ditelan oleh penyokong Perak, tetapi lebih perit bagi Hafizul Hakim yang memikulnya.

“Saya mahu lupakan apa yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini. Waktu itu sangat mencabar buat saya. Sekarang saya sudah buat rawatan ini dan kini saya mahu tingkatkan lagi prestasi diri.

“Semasa mula-mula saya sertai Perak pada 2016, orang ramai hargai persembahan saya. Jadi saya mahu kembali kepada prestasi terbaik untuk membantu pasukan berjaya pada tahun 2020 ini.

Selepas beberapa rakan sepasukan seperti Brendan Gan, Nasir Basharuddin dan Norhakim Hassan keluar menyertai pasukan lain pada musim ini, Hafizul mengakui ada sedikit rasa terkilan. Namun beliau percaya pasukannya mempunyai pemain-pemain muda berbakat dari skuad Piala Presiden.

Beliau percaya kualiti yang ada pada pemain-pemain muda itu mampu menampung kekosongan yang ditinggalkan. Menurutnya lagi, mereka tidak boleh menoleh ke belakang lagi dan jangan fikirkan mengenai pemain yang sudah tiada jika mahu berjaya dalam saingan liga musim baharu ini.

“Kami masih ada pemain-pemain yang berbakat. Saya tidak terlalu risau kerana saya kenal pemain-pemain muda dari skuad Piala Presiden dan yakin mereka akan beraksi dengan baik.

“Penyokong perlu berikan kepercayaan kepada pemain-pemain muda ini. Perak II [pasukan simpanan] juga akan bantu kami dalam liga. Jadi kami tak perlu risau mengenai pemain tempatan. Saya optimis mereka boleh lakukan yang terbaik.”

Kredit Foto: Perak TBG

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN