Selepas Berguru Dengan TMJ, Ini Yang Pemilik Baru Kelantan Kena Buat

Iklan

Sebaik selepas menyelesaikan urusan pembelian The Red Warriors (TRW) Kelantan FC pada minggu lepas, pemilik barunya Norizam Tukiman tidak mengambil masa yang lama untuk berguru. 

Di Malaysia, tempat terbaik untuk berguru tentang pengurusan kelab bola sepak profesional hanya ada satu – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dimiliki oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Norizam bukanlah orang pertama yang ‘berguru’ dengan TMJ. Sebelum ini Terengganu, Melaka United dan Kuching FA sudah turun ke Johor untuk mendapat nasihat dan tunjuk ajar TMJ. 

Malah Presiden Selangor FA DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor (RMS) sendiri pernah kelihatan berkunjung ke sana. Tujuannya? Tak lain tak bukan untuk melihat fasiliti JDT dan mendapatkan pendapat TMJ sebelum mengambil alih The Red Giants.

(Foto: Johor Southern Tigers)

Lawatan Norizam ke JDT adalah langkah pertama yang bagus untuk memajukan bola sepak Kelantan. Ia menunjukkan sikap keterbukaannya untuk belajar; belajar dari sebuah kelab yang telah membuktikan kejayaan mereka di atas dan di luar padang. 

Di atas padang, JDT telah mengumpul 15 kejuaraan dalam kabinet trofi mereka dalam tempoh 6 tahun — termasuk AFC Cup. 

Di luar padang, JDT mempunyai Stadium Sultan Ibrahim yang bertaraf dunia dan milik kelab sepenuhnya. Mereka turut mempunyai pusat latihan serba lengkap dan moden yang mampu menandingi standard kelab-kelab Eropah. 

Program pembangunan akar umbi JDT yang mendapat pengaruh Borussia Dortmund dan Valencia juga lengkap dengan kewujudan pasukan bawah-12. Setiap pemain akademi ditempatkan di pusat latihan dan asrama yang memberikan kualiti tinggi kepada latihan, pembelajaran akademik dan pemakanan.

(Foto: World Football Summit)

Reputasi JDT tidak terhad di peringkat domestik sahaja. Pencapaian mereka turut kerap mendapat publisiti media-media antarabangsa.

Di peringkat dunia, JDT dikenali melalui pelbagai pengiktirafan. Antaranya diberi platform memberi ucapan di World Football Summit, bermain di AFC Champions League dan mengadakan hubungan rasmi dengan Borussia Dortmund, Valencia dan Juventus. 

Malah jurulatih akademi JDT juga dikhabarkan akan berkongsi ilmu dengan jurulatih-jurulatih dari pasukan-pasukan besar dunia seperti PSG, Atletico Madrid, PSV, River Plate, Sepanyol dan Brazil dalam sebuah forum online bulan hadapan.

Untuk mencapai tahap sekarang, TMJ sendiri telah banyak berguru sejak 2013. Baginda sering kali mengaku belajar dengan pelbagai watak utama dalam dunia bola sepak dunia seperti Joan Laporta (Barcelona), Andrea Agnelli (Juventus), Jorge Mendez (ejen bola sepak terkemuka), Real Madrid, PSG dan Manchester City.

(Foto: Johor Southern Tigers)

Norizam tahu peluang berguru ini adalah sesuatu yang berharga. “Alhamdulillah, syukur dapat berjumpa dengan Ikon revolusi pembangunan bola sepak Malaysia. Siapa lagi kalau bukan TMJ,” ulas Norizam di laman Facebook beliau. 

“Walaupun hanya beberapa jam, banyak juga aku belajar dari TMJ hari ni, 8 tahun pasukan bola sepak Johor dibangunkan dari pasukan biasa sehingga menjadi Juara Liga Super berturut-turut tanpa kalah. Pasukan luar negara juga kenal akan JDT hasil usahanya. Baginda ada ‘passion’ yang tinggi pasal bola.”

(Tangkap layar: Facebook Zamsaham)

Ketika pertemuannya dengan TMJ, beliau dipesan supaya mempunyai padang dan fasiliti latihan yang baik, menjaga kebajikan pemain, memastikan pembangunan akar umbi berjalan seiring dengan perbelanjaan pasukan senior serta dan mengukur baju di badan sendiri dalam hal-ehwal kewangan.

Pesanan ini diamalkan dengan baik oleh Terengganu FC. Jiran TRW Kelantan ini tidak pernah mempunyai masalah gaji pemain dan pada masa yang sama, telah menaik taraf fasiliti-fasiliti padang dan pusat latihan.

Pertemuan Norizam dengan TMJ ini penting untuk perkembangan sukan bola sepak di Malaysia. 

Jika kelab-kelab bola sepak tempatan mula memberi tumpuan kepada kerja memperbaiki fasiliti latihan dan pembangunan akar umbi, mereka akan menuai hasilnya pada jangka masa yang panjang. Malah secara tidak langsung, mutu dan kualiti bola sepak Malaysia turut akan meningkat.

JDT telah pun menjadi satu penanda aras untuk kelab-kelab lain dalam bola sepak Malaysia. Penanda aras yang tinggi sepatutnya diikuti, bukannya direndah-rendahkan. 

Kami di Semuanya BOLA berharap dibawah pengurusan Norizam, TRW Kelantan FC akan sentiasa fokus kepada matlamat jangka masa panjang tanpa dikaburi ilusi kejayaan jangka masa pendek.

Sebagai pelabur sepenuh masa, Norizam pastinya tahu hakikat ini.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram