Selangor Sisihkan Bakat Muda? Tentunya Tidak, Kata Michael Feichtenbeiner

FA Selangor Michael Feichtenbeiner pemain muda

Benarkah Selangor telah menyisihkan bakat-bakat muda dalam skuad utama Selangor musim ini? Menurut Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Michael Feichtenbeiner, sedikit demi sedikit beberapa pemain muda telah diberikan ruang untuk beraksi bersama skuad Liga Super Selangor sepanjang musim 2020.

Sepanjang musim singkat Liga Super 2020 akibat pandemik COVID-19 – 11 perlawanan sahaja, beberapa pemain muda telah diberikan ruang dan peluang berharga untuk bermain bersama skuad utama oleh Selangor iaitu Zikri Khalili, Azrin Rusmini, Mukhairi Ajmal, Aliff Haiqal Lau, Anwar Ibrahim dan Zahril Zabri.

Jika diikutkan jumlah perlawanan, tentunya sukar buat pemain-pemain daripada Selangor 2 untuk memecah masuk ke skuad utama tambahan pula dengan usia mereka pada ketika ini, namun, FAS membuktikan komitmen mereka dengan membenarkan sebilangan pemain muda untuk membuat debut di Liga Super.

Antara enam pemain Selangor 2 yang telah beraksi bersama skuad utama sehingga penghujung musim lalu, Aliff Haiqal Lau paling banyak mendapat peluang iaitu dengan tiga penampilan, diikuti oleh Mukhairi Ajmal (2 penampilan) dan masing-masing sekali oleh Zikri Khalili, Anwar Ibrahim, Azrin Rusmini dan Zahril Zabri.

Begitupun, Mukhairi Ajmal lebih menonjol dengan mengumpul 95 minit permainan, diikuti Zikri Khalili (90 minit), Aliff Haiqal Lau (82 minit), Zahril Zabri (44 minit), Azrin Rusmini (17 minit) dan Anwar Ibrahim dengan 6 minit penampilan.

Kata Feichtenbeiner kepada Berita Harian, “Projek kita adalah untuk meningkatkan kualiti pemain muda dan membentuk mereka dalam persekitaran yang betul di Liga Perdana. Mereka adalah masa depan bola sepak Selangor dan sebab itulah kita memberi mereka peluang bersama pasukan utama sedikit demi sedikit.”

Feichtenbeiner yang tampil menggantikan sementara tugas-tugas bekas pengendali, B. Satiananthan yang dipecat selepas kekalahan mengaibkan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata yang pengalaman bersama pasukan senior itu pastinya akan membantu dalam pembentukan dan perkembangan pemain muda agar lebih mantap.

“Semua pemain dalam pasukan pembangunan mendapat pengalaman beraksi secara kompetitif. Sudah tentu mereka ada membuat kesilapan dan memberi risiko kepada keputusan perlawanan namun itu bukanlah perkara utamanya,” jelasnya lagi.

Tambahnya yang dilihat telah berjaya mengubah sedikit permainan dan juga prestasi Selangor menuju ke penghujung musim, “Apa yang penting adalah persembahan dan prestasi pemain secara individu dapat ditingkatkan. Dengan situasi ini, sudah tentu ia memberi impak positif kepada pasukan kebangsaan juga.”

KREDIT FEATURED IMAGE: SELANGOR FC

Baca lagi artikel mengenai Selangor dan Michael Feichtenbeiner:

Penswastaan Selangor Pula Diluluskan, Logo ‘Keramat’ Terus Dikekalkan

Mukhairi Ajmal, Harith Haikal Diserap Ke Skuad Senior Selangor

Micheal Feichtenbeiner: Sean Selvaraj ‘Orang Penting’ Dalam Sistem Saya

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN