Selangor Puas Ke Suku Akhir Piala FA Tanpa Khidmat Maniam

Kejayaan menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi pusingan ketiga Piala FA malam tadi sekaligus menempah tiket ke suku akhir memberi kepuasan kepada para pemain skuad The Red Giants yang beraksi tanpa bimbingan daripada ketua jurulatih pasukan itu, P. Maniam.

Pemangku jurulatih pasukan itu, Muhammad Nazliazmi Mohamad mengakui amat terkejut dengan aksi bertenaga yang dipamerkan oleh pemainnya dan menyifatkan perubahan taktikal yang dirancang olehnya membuahkan hasil yang lumayan.

“Walaupun masih dihantui kekalahan besar 1-4 kepada lawan dalam saingan Liga Super sebelum ini, pemain jelas tidak tertekan, sebaliknya tampil dengan aksi meyakinkan dan memperagakan semangat juang tinggi untuk menebus kekalahan itu.

“Saya tidak sangka boleh menang 3-1 kerana Terengganu pasukan yang kuat di setiap posisi. Jadi, tiga gol yang dihasilkan itu membuatkan saya terkejut dan saya mengucapkan tahniah kepada pemain kerana berjaya membawa pasukan mara ke suku akhir,” katanya kepada Berita Harian.

FOTO: Terengganu FC

Nazliazmi turut memberikan penghargaan kepada pihak pengurusan kerana memberika kepercayaan kepadanya untuk membimbing Selangor buat sementara waktu.

“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan yang memberi kepercayaan kepada saya membimbing pasukan. Saya harap kemenangan ini menjadi tonik terbaik kepada pemain untuk bangkit terutama selepas tewas tiga perlawanan Liga Super berturut-turut,” katanya.

Semalam, skuad Terengganu FC kendalian Irfan Bakti Abu Salim berjaya mendahului pada minit ke-24 menerusi serangan balas pantas apabila lorongan ketua pasukan, Kipre Tchetche disudahkan oleh Shahrul Aizad Zulkifli.

Selangor bagaimanapun tidak cemas sebaliknya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 selepas hantaran Ilham Udin Armaiyn dari sebelah kiri yang terbias kaki pertahanan Terengganu mudah ditanduk masuk Rufino Segovia di depan pintu gol tuan rumah.

Terikat 1-1 pada separuh masa pertama, Selangor memulakan babak kedua dengan rentak lebih agresif bagi memburu gol pendahuluan.

Video: Selangor mara ke suku akhir Piala FA 2018

#RedGiants meraikan kemenangan di bilik persalinan dan layak ke pusingan Suku Akhir #ShopeePIALAFA. TAHNIAH!! MALAM INI KITA PUNYA

Posted by FA Selangor on Friday, March 16, 2018

Hasilnya pada minit ke-61, Evan Dimas berjaya memecah kebuntuan jaringannya bersama Selangor apabila melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Terengganu, Suffian Rahman berpunca daripada umpanan Willian Pacheco yang menanduk ke tengah bola sepakan percuma A Namathevan untuk Selangor mendahului 2-1.

Tindakan pemain pertahanan Terengganu, Fitri Omar yang mengasari Joseph kalang mengundang padah, apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Selangor sekaligus menjadikan keputusan kekal 3-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram