Selangor Champions League 2018: Panduan Lengkap Semua 18 Pasukan

Kumpulan A

Axis O2 PJ FC
Ramai peminat mempertikaikan mengapa Axis O2 PJ perlu melalui perlawanan playoff SCL2018 (menentang SOA FC) pada Ogos lepas walaupun bergelar juara SCL pada tahun lepas. Tetapi pengurus mereka, Mohd Shaifulnizam tetap tenang. Terikat 1-1 pada perlawanan pertama, anak buah Shaifulnizam menewaskan SOA FC 2-0 (menang 3-1 secara agregat) pada perlawanan kedua untuk melangkah ke SCL2018. Ini membuktikan kekuatan Axis O2 PJ masih utuh seperti musim lepas. Hakikat ini dibantu oleh barisan pemain Axis O2 yang rata-ratanya tidak berubah daripada musim lepas. Shaifulnizam pastinya lega penyerang Desmond Amadi mampu beraksi pada perlawanan pembukaan menentang Akademi Bolasepak Merah Kuning (ABMK) selepas terlepas aksi kumpulan tahun lepas kerana masalah visa. Kehadiran penyerang sayap bintang, Haedar Abdul Halim turut bakal memperkuatkan sayap kiri Axis O2 PJ yang mungkin sukar mendapatkan servis MVP SCL2017, Farhan Khairul Anuar (gambar bawah) yang mempunyai komitmen pelajaran di Pahang.

Khidmat Farhan masih diperlukan oleh Axis O2 meskipun beliau sibuk dengan komitmen pelajarannya di Pahang.

Bagaimana mereka layak: Playoff SCL2018 dari KVL Division 1
Pemain bintang: Haedar Abdul Halim

Akademi Bolasepak Merah Kuning (ABMK)
Disebalik nama mereka, ABMK merupakan sebuah pasukan yang dibarisi pemain yang berpengalaman yang mempunyai pengalaman bermain di Liga FAS, Piala FAM, Liga Premier, Liga Super dan Piala Emas Raja-Raja. Antaranya adalah bek kiri Ibnu Hisyam yang membantu PIB FC melangkah ke perlawanan akhir SCL2017 dan Fazli Baharudin, bekas pemain Pahang FA dalam Liga Super. Fazli mungkin nampak kehilangan kelajuan dan kelincahan pada lewat umurnya untuk bermain di sayap kanan, tetapi teknik dan pengalaman beliau masih tetap ditagih untuk memimpin ABMK. Turut menganggotai pasukan ini adalah beberapa pemain bawah-17 akademi mereka. Ini jelas membuktikan ABMK tidak sekadar mahu menjadi pasukan pelengkap dalam SCL2018 kali ini.

Bagaimana mereka layak: Playoff SCL2018
Pemain bintang: Fazli Baharudin

Klang Southern FC
Terkenal dengan reputasi jarang-jarang memanaskan badan sebelum perlawanan dan tidak memberi elaun kepada pemain, Klang Southern mungkin merupakan sebahagian kecil pasukan yang mahu kekal dengan identiti ‘pasukan sosial’ di sebalik kejayaan yang mereka dapat sepanjang tahun lepas. Pengurus mereka, Gan Chee Lim pernah meluahkan kesukaran beliau untuk mengekalkan pemain-pemainnya yang mendapat tawaran lumayan dari pasukan amatur lain yang kuat melabur. Untuk edisi SCL tahun ini, Klang Southern pastinya akan mengharapkan semangat kekawanan dan kesetiaan antara pemain-pemain seperti Jeremy Danker, Carlos Goonting dan Saiful Aula dengan pihak pengurusan mereka untuk memperbaiki – jika tidak menyamai – pencapaian musim lepas (suku akhir SCL2017 dan pusingan ke-2 Piala FA Malaysia 2018).

Bagaimana mereka layak: Juara Setia Alam Football League 2018
Pemain bintang: Kizito Somadina

Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) The Lions
Terkenal dalam arena Liga FAS, SCL2018 merupakan aksi sulung MPKJ The Lions dalam kejohanan anjuran Football Selangor ini. Dibarisi oleh pemain-pemain yang sebahagiannya merupakan bekerja di Majlis Perbandaran Kajang, MPKJ menarik perhatian peminat kerana ketajaman jentera serangan dan keutuhan kubu pertahanan mereka ketika peringkat playoff SCL2018. 18 gol dijaringkan dan hanya 1 gol dilepaskan mereka sepanjang 4 perlawanan playoff. Tahap kecergasan dan fizikal merupakan kelebihan pasukan ini sepertimana majoriti pasukan dari sistem Liga FAS. Kebanyakan pasukan dari liga sosial bergelut menentang MPKJ kerana kepantasan mereka melakukan pressing.

Bagaimana mereka layak: Playoff SCL2018
Pemain bintang: Bello Sharafa

Banting Naga FC

Pada musim lepas, Banting Naga FC kekal di ingatan peminat kerana 2 sebab disebalik persembahan buruk mereka pada edisi SCL tahun lepas yang menyaksikan mereka terkandas di peringkat kumpulan. Pertama, mereka berjaya mengetengahkan 2 pemain yang memukau – K. Aathishesaan dan P. Saravana Kumar. Kedua, mereka sentiasa mempamerkan corak permainan yang sentiasa menyerang. Dua kualiti ini sepatutnya membuatkan Banting Naga boleh layak ke pusingan kalah mati, tetapi kesilapan demi kesilapan yan dilakukan penjaga gol mereka, M. Pavithiran membantutkan cita-cita mereka. Pada tahun ini Banting Naga kehilangan Aathishesaan yang kini bermain bersama skuad Piala Presiden MIFA FC, tetapi mereka dijangka tidak akan mengubah falsafah suka menyerang mereka.

Aksi Saravana Kumar (jersi biru) bersama Banting Naga FC dalam aksi SCL2017 menentang Kajang Ultimate FC.

Bagaimana mereka layak: Juara Prestige Cup 2018
Pemain bintang: P. Sarava Kumar

Shah Alam Antlers FC

Shah Alam Antlers FC tampil berwajah baru pada edisi SCL tahun ini berikutan persembahan mengecewakan mereka pada SCL tahun lepas. Mereka kini dilatih oleh jurulatih berpengalaman, Ariff Hashim. Barisan pengurusan pasukan mereka juga mempunyai rombakan. Figura depan kelab musim lepas, Ahmad Yani telah pun keluar dari kelab dan kini berkhidmat untuk Cheras Raptors. Barisan pemain mereka juga telah berubah 100%. Rata-rata pemain Antlers merupakan bekas-bekas pemain skuad Piala Presiden yang masih muda (purata umur skuad 22.6, kedua termuda selepas Gombak FC). Ini mungkin menjadi faktor mengapa beberapa keputusan siri perlawanan persahabatan mereka menjelang SCL2018 kurang memberansangkan. Ditambah pula dengan kesibukan jadual pasukan mereka yang bersaing dalam 3 kejohanan – SCL, KVL M5 dan Piala Emas Raja-Raja – serentak, Antlers bakal melihat edisi SCL tahun ini sebagai platform menimba pengalaman sebelum memburu matlamat yang lebih realistik.

Bagaimana mereka layak: Lulus syarat SCL Community Club Development Programme
Pemain bintang: Luqman Hadi Mazali

Puchong Fuerza FC

Terlepas peluang mara ke peringkat suku akhir SCL2017 pada saat-saat akhir, Puchong Fuerza pastinya mengharapkan nasib mereka di SCL kali ini lebih menyebelahi mereka. Diberkati dengan barisan pengurusan yang tersusun dan profesional, Puchong Fuerza bertindak melantik bekas pertahanan Selangor, Nazrulerwan Makmor sebagai ketua jurulatih. Barisan penyokong fanatik mereka juga boleh menandingi kefanatikan penyokong Shah Alam Antlers untuk memberi semangat kepada barisan pemain-pemain yang rata-ratanya masih dikekalkan daripada skuad tahun lepas. Nazrin Zulgafli dan Zulkefli Baharudin dijangka akan menjadi tonggak di bahagian tengah Puchong Fuerza.

Bagaimana mereka layak: Juara Liga Komuniti Puchong 2017/2018
Pemain bintang: Norismaidham Ismail

Gombak FC

SCL2018 merupakan kejohanan utama pertama yang bakal membuka tirai musim buat Gombak FC, sebuah lagi kelab yang layak menerusi inisiatif Community Club Development Programme anjuran Football Selangor. Turut dibarisi oleh pemain-pemain muda seperti Shah Alam Antlers, Gombak FC turut bakal melihat SCL sebagai platform menimba pengalaman. Pada umur purata 19.9 tahun, Gombak FC adalah pasukan termuda dalam SCL2018.

Bagaimana mereka layak: Lulus syarat SCL Community Club Development Programme
Pemain bintang: Abdulkadir Ali Kassim

Paya Jaras Hiliran FC

Sebuah lagi pasukan dari sistem Liga FAS yang kali pertama bertanding dalam SCL tahun ini, Paya Jaras Hiliran menempah slot dalam kejohanan berprestij ini selepas menewaskan pasukan ternama, Gombak Klasiko FC dalam playoff SCL2018 liga mereka. Seperti pasukan Liga FAS yang lain, PJ Hiliran mempunyai pemain-pemain yang mempunyai tahap kecergasan dan fizikal yang lebih baik dari rata-rata pasukan liga sosial dan mereka tidak segan-segan menggunakan kelebihan ini untuk mendapatkan kemenangan. Corak permainan mereka agak direct, tetapi ia direka sebegitu rupa untuk memaksimumkan kebolehan pemain nombor 10 mereka, Iqram Yahaya.

Bagaimana mereka layak: Juara Kota Damansara Premier League 2018
Pemain bintang: Iqram Yahaya

Kumpulan B

Damansara Damai NPNG FC

Turun dengan status sebagai juara Liga Super Selangor (liga teratas dalam sistem Liga FAS), Damansara Damai NPNG FC merupakan nama pertama yang akan disebut oleh peminat mengenai prospek juara SCL tahun ini. Meskipun baru kali pertama menyertai SCL, kehebatan NPNG diakui oleh semua pasukan. Pemain-pemain mereka seperti Mamadou Berete, Lukhman Noor Hakim, G. Sivachandran dan Darshen Ganesan merupakan crème de la crème dalam arena bola sepak amatur di Selangor.

Pemain-pemain NPNG FC meraikan kejayaan menewaskan PKNS FC 2-0 sekaligus memenangi Piala Sumbangsih Liga FAS 2016 di Stadium UKM Bangi

Bagaimana mereka layak: Juara Liga Super FAS
Pemain bintang: Mohammad Rafifi Mansor

Gombak Hypernova FT

Layak ke SCL2018 buat pertama kali selepas berjaya menewaskan Dimmu Bangi FC 3-1 secara agregat dalam perlawanan playoff SCL2018, Hypernova FT bakal melangkah ke arena yang lebih besar. Tidak banyak akan diharapkan kepada mereka memandangkan tahap kesukaran kejohanan ini jauh lebih tinggi berbanding Selangor Social Premier League. Tetapi jika Shahail Nizam dan Abdul Halim boleh menjadi klinikal di depan pintu gol sebagaimana yang PJ Level Up FC lakukan pada musim lepas, mereka boleh menampilkan kejutan. Nurfaiz Osman juga perlu memastikan sepakan percumanya mampu menghasilkan gol dengan lebih kerap untuk membantu Hypernova.

Bagaimana mereka layak: Juara playoff SCL2018 dari Selangor Social Premier League
Pemain bintang: Nurfaiz Osman

Klang Valley United

KV United merupakan kelab yang diasaskan oleh pengasas akademi akar umbi swasta, Little League Soccer. Ditubuhkan bertujuan untuk menjadi platform bagi graduan-graduan akademi ini mendapat minit permainan yang kompetitif, KV United. Berdasarkan persembahan mereka di Subang Football League M5 ketika ini, KV United merupakan sebuah pasukan yang sangat kukuh jentera pertahanannya. Pasukan-pasukan di Kumpulan B bakal menghadapi kesukaran menjaringkan gol menentang pasukan yang dilatih oleh Shazwan Wong, bekas ketua jurulatih Axis O2 PJ ketika beraksi dalam Piala FA Malaysia awal tahun ini.

Bagaimana mereka layak: Lulus syarat SCL Community Club Development Programme
Pemain bintang: Azeez Akeem

Cheras Raptors FC

Meskipun tak sampai setahun ditubuhkan (secara rasmi), Cheras Raptors FC sudah mencipta nama di dalam dan di luar padang. Kelab yang dipimpin oleh Ahmad Yani dan dilatih oleh Amir Syahir ini berjaya memberi saingan sengit kepada Duta ZXiV FC dalam kempen KVL Super League 2018 sebelum terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua liga dan terlepas slot kelayakan automatik ke SCL2018. Raptors kemudiannya mendapat peluang kedua apabila layak menyertai playoff SCL2018 – peluang yang mereka ambil sebaiknya hasil persembahan cemerlang Mohamad Naim, Fadhullah Mat Rawi dan Khairul Anuar.

Bagaimana mereka layak: Playoff SCL2018
Pemain bintang: Irfan Ghani

Club Atletico de Bukit Jelutong (CABJ) FC

Layak ke SCL2018 sebagai salah sebuah kelab komuniti yang menepati syarat yang ditetapkan oleh Football Selangor, CABJ FC bakal beraksi dalam SCL buat kali pertama. Diundi pula dalam kumpulan yang menempatkan dua pasukan berbajet paling besar di SCL (NPNG Damansara Damai FC dan Duta ZXiV FC), CABJ bakal berdepan cabaran menggunung untuk layak ke suku akhir. Mengatasi rekod buruk TTDI Terrapins FC pada tahun lepas (kalah semua 8 perlawanan kumpulan) perlu menjadi matlamat utama kelab Bukit Jelutong ini.

Bagaimana mereka layak: Lulus syarat SCL Community Club Development Programme
Pemain bintang: Shafizi Sehrom

KRU Port Klang FC

Pasukan amatur lagenda dari Kampung Raja Uda, Klang ini tidak asing lagi dari arena SCL selepas pernah mencuba nasib dalam edisi 2016. Tiba buat kali kedua dalam edisi tahun ini, KRU Port Klang FC jauh lebih serius berbanding edisi 2016. Buktinya, KRU telah membariskan skuad paling berpengalaman dalam SCL2018. Purata umur skuad mereka adalah 28.9 tahun, paling tertua mengatasi purata umur skuad Axis O2 iaitu 28.5 tahun. Ketika mengenepikan cabaran BU Eagles dalam playoff SCL2018, KRU mempamerkan persembahan bertenaga, bersemangat dan pandai bermain psikologi dengan lawan mereka – sesuatu yang anda sememangnya jangkakan daripada pemain-pemain berpengalaman mereka yang sudah bertahun-tahun beraksi dalam sistem Liga FAS.

Bagaimana mereka layak: Playoff SCL2018
Pemain bintang: Nahrul Hayat

Kajang AZS FC

Pada edisi tahun lepas, Kajang AZS melakar reputasi sebagai pasukan paling banyak menjaringkan gol – dengan 20 gol daripada hanya 8 perlawanan. Penyerang handalan mereka, Phillip Abbah pula muncul penjaring terbanyak dengan 11 gol. Satu-satunya faktor yang menghalang mereka layak ke suku akhir disebalik mempunyai jentera serangan yang menakutkan adalah kerapuhan kubu pertahanan mereka. Pada edisi tahun ini, AZS perlu memperbaiki kelemahan tersebut untuk memenuhi potensi sebenar pasukan mereka.

Penyudah tajam Phillip Abbah (dua dari kiri) sangat ditagih oleh Kajang AZS.

Bagaimana mereka layak: Juara KVL Cyberjaya
Pemain bintang: Phillip Abbah

Duta ZXIV FC

Satu-satunya pasukan yang muncul di fikiran peminat yang boleh memberi tentangan sengit kepada NPNG Damansara Damai FC pada edisi tahun ini adalah Duta ZXiV FC. Agak sayang apabila kedua-dua pasukan kuat ini berada dalam kumpulan sama. Tetapi seperti saingan kumpulan B edisi tahun lepas, ZXiV dan NPNG merupakan pilihan utama kejohanan dan kumpulan ini untul melangkah jauh. Dilengkapi oleh pemain-pemain tempatan yang berpengalaman dan bagus seperti Zaaba, Rinmon Ngo, Syazmin dan Wong Kah Heng, ZXiV turut diperkuatkan dengan 2 pemain asing terbaik pernah disaksikan dalam SCL – Jacque Faye dan Medina Mbeguerre.

Bagaimana mereka layak: Juara KVL Super League 2018
Pemain bintang: Medina Mbeguerre

Subang City FC

Layak ke SCL2018 menerusi slot kelayakan kelab komuniti, Subang City FC merupakan salah sebuah kelab komuniti yang terpilih (bersama-sama Shah Alam Antlers) untuk bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil yang baru dibuka semula pada tahun lepas. Aktif menyertai sistem Liga FAS, Subang City turut mengumpul penyokong-penyokong tempatan yang mengagumi pemain-pemain tempatan seperti Amirul Aswad, Syafiq Abdul Hamid dan Asyiff Zulkefli.

Bagaimana mereka layak: Lulus syarat SCL Community Club Development Programme
Pemain bintang: Amirul Aswad

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN