Sekeping Gambar Yang Bawa Seribu Erti Buat Penyokong Sri Pahang

Gambar Tengku Arif Bendahara Pahang TMJ JDT Sri Pahang 2021

Laman sosial Sri Pahang telah memuat naik sekeping gambar sebelum aksi Liga Super JDT dan Sri Pahang yang memberi harapan dan seribu erti buat penyokong mereka.

Gambar yang dimuat naik oleh laman sosial Sri Pahang itu adalah pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bersama Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah iaitu putera kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tengku Muhammad Iskandar ketika ini merupakan Tengku Arif Bendahara Pahang dan merupakan adik kepada pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Keberadaannya bersama TMJ di Iskandar Puteri mencetuskan sensasi tersendiri.

Mereka berdua adalah sepupu di mana Bondanya adalah adinda kepada Sultan Johor iaitu Ayahanda kepada TMJ, Sultan Ibrahim Ismail ibni Sultan Mahmud Iskandar. Ia bukan hanya memperlihatkan hubungan mereka tetapi mungkin lebih daripada itu.

Dengan kapsyen, “Nothing is more exciting in relationships”, laman sosial Sri Pahang mempamerkan keakraban hubungan antara kedua-dua figura di dua negeri tersebut.

Sri Pahang ketika ini berada di kedudukan ke-10 Liga Super 2021, dipisahkan hanya empat mata daripada zon penyingkiran yang dihuni oleh Perak FC yang berada di kedudukan ke-11 meraih 13 mata dengan saingan liga masih berbaki tiga perlawanan.

Adakah mereka mampu mengelakkan penyingkiran? Secara matematiknya, mereka masih berpeluang dengan baki tiga perlawanan di tangan berbanding Perak – dua aksi.

Dua kemenangan akan memastikan mereka keluar daripada persaingan penyingkiran ke Liga Premier iaitu meraih mata magis untuk terselamat di Liga Super – 22 mata.

Tiga aksi tersebut adalah berdepan Kedah Darul Aman FC pada Rabu, diikuti Penang FC pada 5 September dan diakhiri dengan aksi bertemu UiTM FC pada 12 September.

Mereka perlu mengelak penyingkiran kerana gambaran yang dipaparkan itu pastinya memiliki maksud yang tersendiri. Difahamkan setakat ini, Tengku Arif Bendahara sudah mula berjinak-jinak dengan pelajaran pengurusan pasukan bola sepak Sri Pahang.

Bapa saudaranya, YAM Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Ahmad Shah merupakan Presiden Sri Pahang dan mungkin ketika ini memberikan ruang kepadanya yang lebih muda – berusia 24 tahun, untuk belajar selok belok pengurusan bola sepak.

Mungkinkah pertemuan di Stadium Sultan Ibrahim itu juga ada membincangkan soal pengurusan pasukan bola sepak? Anda tahu TMJ yang suka berkongsi rahsia kejayaannya membentuk semula pasukan bola sepak Johor kepada JDT.

Jika kepada delegasi pasukan-pasukan lain yang turun menuntut dengannya pun telah dikongsikan ilmu tersebut, apatah lagi dengan adik beradik dan saudara sendiri.

Sekitar April lalu, ketika prestasi skuad Tok Gajah sangat hambar dengan berada di kedudukan ke-11 selepas 10 perlawanan, Tengku Arif Bendahara telah turun padang untuk memberikan tiupan semangat kepada para pemain ketika sesi latihan.

“Sudah, saya tidak mahu dengar alasan lagi, I want you all to work as hard as you can sampai habis musim ini, berapa bulan saja lagi, awak boleh rehat lepas bulan 11 [saingan musim 2021 dijangka berakhir], empat bulan berehat.

“Tetapi sekarang harus kerja keras, kecergasan kena dipertingkatkan balik dan (gaya) pemikiran kena tukar,” kata Tengku Muhammad Iskandar dalam video yang dikongsikan menerusi akaun Instagram rasmi miliknya, tabtms.

Tengku Arif Bendahara turut memuat naik gambarnya bersama pasukan dengan kapsyen, “New Era“, memberi petanda akan berlaku perubahan kepada skuad itu.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply