‘Sekadar Mainan Media’ – Ole Tepis Spekulasi Pertelagahan Dengan Fernandes

Kerjasama Semuanya BOLA

Ole Gunnar Solskjaer Bruno Fernandes Manchester United

Ole Gunnar Solskjaer akhirnya bersuara mengenai spekulasi yang mengatakan beliau ‘bergaduh’ dengan bintang tengah Manchester United, Bruno Fernandes ketika pasukannya dibelasah Tottenham Hotspur dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) tempoh hari.

Dalam perlawanan yang berakhir 6-1 tersebut, Solskjaer mengeluarkan pemain tengah Portugal berkenaan pada waktu rehat separuh masa dan tular laporan mengatakan ianya disebabkan Fernandes mengamuk dengan rakan sepasukannya dan mengkritik taktikal pengurusnya itu.

Bagaimanapun Fernandes telah pun menjelaskan kepada pihak media dengan mengatakan khabar angin tersebut sebagai ‘sampah’ dan menegaskan beliau dan rakannya kini hanya mahu fokus membantu Ole mengatasi prestasi buruk pasukan.

“Ini perkara biasa, kami tahu di luar sana ada pihak yang sentiasa menunggu peluang, kamu [media] sengaja ‘mencipta’ krisis,” ujar pengurus warga Norway tersebut ketika sidang media menjelang perlawanan EPL menentang Newcastle United.

Saya bangga dengan Bruno apabila dia menjelaskan dengan baik bahawa kami masih bersatu dalam satu pasukan.

“Kamu tidak sepatutnya mendengar khabar angin daripada mereka di luar sana. Mungkin benar Bruno kecewa dengan apa yang sedang berlaku, ini kali pertama dia tewas dua perlawanan liga sejak dia tiba di sini pada Februari dan memberikan banyak perubahan positif kepada pasukan.

“Jadi ia sebagai satu proses pembelajaran buat Bruno. Ini apa yang akan berlaku di Manchester United apabila kamu kalah dua perlawanan dan orang di luar akan cuba memecah belahkan pasukan.

“Tapi saya yakin ia tak akan berlaku kerana saya yakin dan percaya dengan pemain yang mereka akan bekerja keras untuk terus bersatu dan kembali ke prestasi terbaik kami.

United kini terperosok dalam kumpulan bawahan liga dengan menduduki tangga ke-16 selepas tewas dalam dua daripada tiga perlawanan EPL pada awal musim ini.

Satu-satunya kemenangan yang diraih adalah ketika menang tipis 3-2 ke atas Brighton di mana Fernandes menjadi penyelamat United dengan menjaringkan penalti pada hujung perlawanan.

Selepas mendapat empat pemain baharu pada hari terakhir jendela perpindahan tempoh hari, tentunya tugas Solskjaer adalah membawa pulang tiga mata dalam kunjungan mereka ke Newcastle United pada Sabtu.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Inggeris:

Jurgen Klopp ‘Mengucap Panjang’ Bila Tahu Ancelotti Jadi Pengurus Everton

Hasenhuettl: ‘Project Big Picture’ Akan Jadikan EPL Membosankan

Arteta Sedia Lepaskan Thomas Partey Untuk ‘Hancurkan’ Manchester City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram