Sejauh Mana Raphael Varane Boleh Dianggap Pembelian Berbaloi Untuk Man United?

Raphael Varane ketika ini sudah semakin hampir untuk menyertai Manchester United pada jendela perpindahan musim panas ini.

Karier 10 tahun Raphael Varane di Santiago Bernabeu sepertinya sudah sampai ke penghujungnya dengan beliau ketika ini sedang dalam perjalanan ke Old Trafford.

Baru-baru ini beliau hanya menghabiskan masa selama beberapa jam sahaja di pusat latihan Real Madrid, untuk menjalani sesi pemeriksaan kesihatan pra musim, sebelum beredar dan tidak mengikuti sesi latihan.

Selepas mendapatkan persetujuan dari kedua-dua pihak, United sepertinya akan mengumumkan penandatanganan Raphael Varane dalam masa terdekat ini.

Red Devils dilaporkan akan membayar £50 juta untuk mendapatkan bintang Real Madrid itu, dan ia sepertinya sangat berbaloi untuk seorang pemain yang mempunyai kemampuan, konsistensi dan pengalaman.

Usaha United mencari pemain centre-back

United sebelum ini sememangnya hangat dikaitkan dengan bakal menandatangani pemain centre-back, dalam usaha mereka untuk mencari pengganti kepada Victor Lindelof.

Musim panas ini United turut dikaitkan dengan Ben White yang kini sudah ke Emirates, dan baru-baru ini mereka turut dikaitkan dengan Jules Kounde.

Tidak dilupakan juga Manchester United sebelum ini sememangnya sering dikaitkan dengan bintang Napoli, Kalidou Koulibaly yang tidak pernah menjadi kenyataan.

Selepas dikaitkan dengan kesemua pemain tersebut, United dengan tiba-tiba mengalihkan perhatian mereka untuk mengejar pertahanan kelas heavyweight, Raphael Varane.

Bintang mega jarang berminat sertai Premier League

Pemain yang mempunyai profil sehebat Varane jarang berminat untuk beraksi dalam saingan Premier League. Saingan liga utama England bukan medan akhir terbaik untuk para pemain mega.

Ada yang berhasil, tetapi jumlahnya teramat sedikit dan tak ramai yang mahu langsung datang dan beraksi dalam saingan liga bola sepak paling kompetetif ini.

Kebanyakan pemain berkelas dunia/ berprofil tinggi yang mahu melengkapkan perpindahan, kebiasaannya mereka hanya akan dikaitkan dengan Real Madrid atau Barcelona.

Sesekali ada juga melibatkan pasukan seperti Bayern Munich dan Paris Saint Germain. Tidak dinafikan sejak kebelakangan ini, Serie A juga menjadi destinasi pilihan mereka.

Apa yang pasti sangat jarang untuk melihat pemain-pemain ini datang dan beraksi dalam saingan Premier League.

Kejayaan Varane sepanjang kariernya di Santiago Bernabeu

Raphael Varane sudah menghabiskan masa selama satu dekad di Santiago Bernabeu, dengan beliau menyertai Real Madrid ketika usia remaja lagi pada tahun 2011.

Beliau lebih kerap beraksi dalam saingan Champions League bersama Los Blancos, berbanding Harry Maguire beraksi bersama Man Utd dalam saingan Premier League.

Beliau juga telah memenangi Champions League sebanyak empat kali, yang mana ia lebih banyak berbanding United yang hanya pernah menang tiga sepanjang sejarah penubuhan kelab.

Sudah tentu kisah sekarang tidak akan sama seperti ketika United pernah cuba untuk mendapatkan Varane sebelum beliau mula menyertai Real Madrid lagi.

“Saya bergegas menaiki kereta api dari Euston ke Lille untuk menandatangani pemain pertahanan muda Perancis Raphael Varane.”

Tulis legenda terhebat sepanjang zaman Manchester United, Sir Alex Ferguson dalam buku kedua hasil tulisannya.

Sir Alex mendedahkan yang David Gill sudah hampir untuk membawa Varane ke Old Trafford, namun kerana campur tangan Zidane, beliau akhirnya pergi ke Madrid tanpa disedari oleh United.

Pengaruh Zidane merupakan kunci mengapa Varane memutuskan untuk menyertai Los Blancos, dengan bintang Perancis itu dengan segera mempamerkan aksi menakjubkan dibawah kendalian Jose Mourinho dan Carlo Ancelloti.

Beliau senantiasa berusaha untuk mendapat tempat dalam skuad utama, dengan Real ketika itu sudah mempunyai dua pemain kegemaran, Pepe dan Sergio Ramos.

Varane kemudiannya menjadi salah seorang pemain terpenting ketika dibawah kendalian Zidane, dengan beliau berjaya membantu Los Blancos memenangi pelbagai kejuaraan sepanjang tempoh tersebut.

Selain membantu Real Madrid, beliau turut cemerlang membantu skuad kebangsaan Perancis untuk memenangi gelaran Piala Dunia pada tahun 2018 yang lalu.

Kembali pada 2016 yang lalu, Zinedine Zidane pernah menyatakan yang beliau yakin Varane akan kekal di Santiago Bernabeu sepanjang kariernya.

Namun pada tahun ini, selepas ketiadaan Zidane, rakan senegaranya itu juga bakal meninggalkan Real Madrid dan bakal terbang jauh ke England.

Memandangkan kepada semua kejayaan yang telah beliau menangi bersama Real Madrid, jelas sekali tidak mengejutkan untuk melihat Varane mencari pengalaman dan cabaran baru dalam kariernya.

Varane sememangnya seorang pemain yang mempunyai kualiti bertahan yang sungguh mengagumkan, mempunyai kemampuan atletik yang mengagumkan dan beliau juga hebat dalam permainan taktikal.

Kefahaman dan kemampuan beliau untuk menyerap asakan juga boleh dipuji dengan beliau mempunyai kemahiran yang baik dalam membaca perlawanan.

Walau mempunyai tubuh yang besar, namun tidak boleh dinafikan yang Varane juga mempunyai kelajuan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Sudah tentu beliau juga pernah melakukan kesilapan, gol sendiri, tersilap menghantar bola, tersalah baca gerakan lawan dan sebagainya.

Namun hak beliau untuk dianggap sebagai salah seorang pemain yang memiliki kemampuan, rekod dan pencapaian luar biasa tak boleh dinafikan.

Mentaliti Varane akan bantu United cetus kebangkitan

Perbandingan Varane dengan pemain lain dalam saingan Premier League

Tiga kali gelaran La Liga dan empat Champions League sudah cukup untuk membuktikan yang beliau akan jadi salah seorang pemain paling decorated dalam saingan Premier League.

Hanya Thiago Silva sahaja yang pernah memenangi gelaran liga lebih banyak berbanding Varane dan tidak ada sesiapa pemain dalam saingan Premier League yang pernah memenangi Champions League lebih dari sekali (sebagai pemain utama).

Thiago Alcantara pernah memenangi dua kali gelaran Champions League, namun ketika kariernya bersama Barcelona pada musim 2010/11, beliau hanya membuat satu penampilan sahaja.

Sementara Mateo Kovacic pula tidak pernah menjadi pemain utama untuk Real Madrid walau beliau merupakan salah seorang pemain Los Blancos ketika memenangi tiga gelaran Champions League.

Ia sama seperti Xherdan Shaqiri yang memenangi dua gelaran Champions League bersama Bayern Munich dan Liverpool namun beliau bukanlah pemain utama skuad.

Perbandingan karier Varane dan Van Dijk

Jelas sekali antara pemain centre-back yang dilihat boleh beri saingan pada Varane adalah Virgil Van Dijk, dengan bintang Belanda itu merupakan pencetus kepada kebangkitan Liverpool dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Beliau berjaya membawa Liverpool mara ke dua aksi perlawanan akhir Champions League, dengan memenangi salah satu darinya, dan beliau turut membantu Liverpool mengumpul 196 mata dari dua musim saingan Premier League (satu musim Juara).

Kembali pada April 2020, ketika Sky Sports memilih barisan pemain terbaik, Gary Neville lebih memilih Varane berbanding Van Dijk.

“Saya rasa kita ada sekumpulan pemain muda berbakat di England, tapi kita juga harus fikir tentang pemain lain yang juga wujud. Kita bukan satu-satunya negara yang ada liga bola sepak.”

Jelas Neville.

“Sebab itu saya meletakkan Raphael Varane berbanding Van Dijk. Dia sudah menang begitu banyak kejuaraan Eropah, dia dah menang Piala Dunia, dia pemain yang sungguh menakjubkan.”

Kenyataan Neville sama sekali tidak boleh dinafikan selepas melihat Varane memenangi gelaran liga ketika debutnya bersama Madrid pada musim 2011/12.

Sementara Van Dijk pula yang dua tahun lebih tua dari Varane pada ketika itu masih bermain bersama Groningen.

Ketika Van Dijk memenangi gelaran liga pertama dalam kariernya bersama Celtic pada tahun 2014, Varane sudah menjulang kejuaraan Champions League pada masa yang sama.

Pemain kebangsaan Perancis itu sudah memenangi segalanya dan mendominasi dunia bola sepak dalam tempoh sedekad ini.

Bukan hanya Van Dijk, bahkan tiada sesiapa pun pemain dalam saingan Premier League yang boleh tandingi pencapaian yang berjaya dicapai oleh Varane sepanjang tempoh tersebut.

Mentaliti yang akan Varane bawa ke Old Trafford

Apa yang menariknya, beliau akan membawa mentaliti, keinginan dan sikap dahagakan kejayaan ke Old Trafford untuk membantu rakan sepasukannya lebih bermotivasi.

Tidak ada jaminan sama sekali yang boleh menjaminkan Varane akan berjaya di Old Trafford, bakal membawa impak yang sama seperti yang Van Dijk bawa ke Anfield. Namun usaha United menandatangani beliau adalah usaha yang positif.

Posisi Varane dan kemampuan beliau akan membenarkan United untuk bermain lebih menyerang dan bermain dengan lebih aggressif.

Kelajuan beliau akan sangat membantu untuk mematahkan serangan lawan dengan kemampuan itu sebenarnya tidak pernah ada di Old Trafford sejak beberapa musim kebelakangan ini.

https://twitter.com/Caleb_Mufc/status/1419649299386970125?s=19

Melihatkan adanya Varane dan Wan Bissaka di sudut yang sama, ia sudah cukup membuatkan hati para pemain penyerang luluh dan berduka.

Varane dan Maguire akan membentuk gandingan yang sempurna, dan sedikit sebanyak akan memberi impak positif kepada skuad, dengan ditambah pula kehadiran pemain berbakat di posisi serangan seperti Sancho, Cavani dan Fernandes, tidak mengejutkan untuk melihat United akan menjulang Piala pertama mereka musim ini.

Sudah tentu akan ada yang mengatakan bahawa Varane belum tentu mampu untuk berjaya di England, namun pengalaman, kemampuan dan kehebatan beliau mungkin boleh menghasilkan sesuatu.

Semuanya tak mustahil dalam dunia bola sepak, apa yang pasti, tindakan United menandatangani Varane adalah satu usaha yang positif dan bakal memberikan mereka pulangan yang lumayan.

Sumber: Squawka

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN