Sejarah J League: Bagaimana Jepun Memulakan Liga Bola Sepak Mereka (Siri 1)

Dalam siri pertama ini, kita akan mengimbas kembali kemunculan liga bola sepak Jepun, J League.

Sejak penubuhannya, J League menjadi penanda aras kualiti liga bola sepak negara-negara Asia yang lain. Termasuklah Malaysia.

Dirasmikan pada 1993

J League diasaskan pada tahun 1991, tetapi dilancarkan secara rasmi pada tahun 1993.

Selepas lebih 20 tahun penubuhannya, bola sepak Jepun telah melonjak secara mendadak. Baik dari segi permainan, penyokong dan pemain itu sendiri.

Langkah ke arah bola sepak profesional yang diatur Jepun telah terbukti kejayaannya. Mereka tidak putus-putus menghasilkan pemain berkelas dunia. Mereka layak ke Piala Dunia hanya 5 tahun selepas penubuhan liga profesional.

Namun semua kejayaan ini tidak semudah yang kita sangka.

maillots_mizuno_93

Era sebelum bola sepak profesional

Piala Maharaja Jepun merupakan kejohanan bola sepak Jepun yang sudah bermula sejak 1921; tahun sama Japan Football Association (JFA) ditubuhkan.

Pada permulaan, hanya 4 pasukan sahaja yang menyertai kejohanan ini. Sekarang jumlah pasukan telah pun meningkat melebihi 6000 pasukan.

J League Emperor's Cup

Sebelum penubuhan liga professional Jepun, hanya 2 jenis pasukan yang mendominasi bola sepak Jepun:

  1. pasukan bola sepak universiti dan
  2. pasukan bola sepak syarikat tempatan.

Kelab bola sepak syarikat tempatan hanya mula berkembang pada sekitar 1960-an. Bermula sebagai kelab rekreasi syarikat, para pekerja syarikat digalakkan menyertai pasukan bola sepak syarikat untuk:

  1. tujuan rekreasi
  2. memantapkan lagi penjenamaan syarikat masing-masing.

Minat rakyat Jepun terhadap bola sepak

Minat rakyat Jepun terhadap bola sepak bertambah tinggi selepas skuad bola sepak Olimpik Jepun memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik 1968 di Mexico. Jurulatih skuad Olimpik 1968 Jepun; Otto Cramer menjadi pujaan rakyat Jepun.

japan meico olympic 1968 j league

Kelab bola sepak syarikat tempatan

3 tahun sebelum Jepun memenangi gangsa Sukan Olimpik, Cramer memainkan peranan penting dalam mewujudkan Japanese Soccer League (JSL) – sebuah liga bola sepak pertama di Jepun. Ia adalah liga amatur.

Majoriti pasukan dalam JSL adalah daripada syarikat-syarikat tempatan seperti Mitsubishi, Nissan, Hitachi, Yamaha, Nippon Steel, Mazda, Toshiba, Honda dan banyak lagi. Pasukan ini mengambil pekerja mereka sebagai pemain.

Pemain ini akan diberikan kelonggaran untuk hanya bekerja di waktu pagi supaya mereka dapat berlatih disebelah petang.

Ini bagi memastikan pemain-pemain dapat memberikan lebih tumpuan dalam membawa nama baik syarikat yang diwakili.

Furukawa Electric FC di Stadium Jalan Besar 1971.

Kelab bola sepak syarikat yang berjaya

Pada 1960, Furukawa Electric (sekarang dikenali sebagai JEF United Ichihara Chiba), merupakan pasukan pertama yang menjuarai Piala Maharaja Jepun.

Pada tahun seterusnya pasukan Toyo Industries (sekarang dikenali sebagai Sanfeecce Hiroshima).

Antara pasukan lain yang pernah menjadi juara JSL adalah Yanmar Diesel (sekarang dikenali sebagai Cerezo Osaka), Mitsubishi Heavy Industries (sekarang dikenali sebagai Urawa Reds) dan banyak lagi.

Waseda University menjuarai piala ini pada 1966 dan merupakan kejuaraan terakhir yang pernah dicapai oleh pasukan Universiti.

Walaupun dengan pembangunan pesat bola sepak Jepun pada masa itu, stadium mereka boleh dikatakan hampir kosong. Pasukan kebangsaan Jepun pula berkali-kali gagal melayakkan diri ke Piala Dunia.

JSL melahirkan pemain profesional pertama 

Yasuhiko Okudera

Diantara pencapaian penting JSL adalah melahirkan lagenda bola sepak mereka; Yasuhiko Okudera. Okudera merupakan pemain Jepun pertama yang bermain boal sepak secara profesional dan bermain di Eropah.

Bermula sebagai pemain amatur untuk kelab bola sepak syarikat Furukawa Electric, Okudera pernah menjuarai Bundesliga dan DFB Pokal bersama pasukan Koln pada 1978. Beliau dikenali di Jerman dengan nama “Der Gelbe Blitz” ( The Yellow Lightning ).

Baca: 10 Gaji Termahal Pemain Bola Sepak J League

Yasuhiko Okudera FC Koln

Arkitek penubuhan liga profesional Jepun

Arkitek utama bola sepak Jepun adalah Saburo Kawabuchi. Kawabuchi mahu mewujudkan sebuah liga profesional pertama di Jepun.

Semua ini menjadi realiti pada 1993. 10 pasukan mengambil risiko kewangan besar bagi merealisasikan kewujudan sebuah liga bola sepak profesional mereka sendiri.

Perjudian ini membuahkan hasil yang sangat memberansangkan pada beberapa tahun awal penubuhan liga. Penonton memenuhi stadium, liga mereka mendapat penajaan yang banyak dan mutu permainan di atas padang juga meningkat.

Pada majlis pembukaan J League itu Saburo Kawabuchi ada menyatakan :

Disokong oleh rakyat (Jepun) yang cintakan bola sepak, J-League adalah impian yang sedang berada pada langkah pertama ke arah realiti

Belajar dari banyak negara

Sebelum penubuhan J League, Kawabuchi dan delegasinya banyak melawat negara-negara untuk belajar cara mengurus liga profesional dan cara memasarkan jenama J League. Ini termasuklah lawatan mereka ke Malaysia.

Mereka menghabiskan 3 hari di kelab Bayer Leverkusen untuk belajar cara mengurus gaji dan bonus pemain profesional.

Kawabuchi juga mengkaji aspek pemasaran Sukan Olimpik Los Angeles 1984 untuk menarik penaja-penaja.

Mereka juga melawat Amerika Syarikat untuk mengkaji dan mempelajari bagaimana liga bola keranjang (NBA), hoki ais (NHL), American football (NFL) dan besbol (MLB) beroperasi.

Aspek pemasaran J League

Untuk mempopularkan J League, Sony Creative Products – badan pemasaran alat elektronik Sony – dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan produk dan imej pemasaran semua 10 kelab di J League.

Sony Creative Products mencipta logo dan maskot dalam bentuk kartun bagi setiap pasukan. Strategi ini berjaya menawan hati generasi muda Jepun, generasi yang mereka sasarkan untuk menjadi peminat terbesar J League.

mascottes

Kisah Sumitomo Soccer Club

Dalam sejarah J League, kisah paling memilukan adalah apabila Sumitomo Soccer Club – yang pernah menjuarai JSL pada 1986-87 – pernah hampir ditolak permohonan bagi memiliki keahlian J League pada 1992.

Pada 1992, arkitek penubuhan J League, Saburo Kawabuchi pernah mengatakan ianya ‘99.9999% mustahil’ bagi Sumitomo Soccer Club untuk menyertai J League kerana mereka tidak mempunyai stadium sendiri. Namun presiden Sumitomo SC, Masaru Suzuki membalas:

Jadi kami masih mempunyai 0.0001% peluang?

kashima antlers 1993

Presiden Sumitomo SC melancarkan sebuah projek pembinaan stadium bola sepak di Ibaraki sebagai respons kepada permohonan kelabnya yang ditolak. Jika stadium itu siap, ia akan menjadi stadium bola sepak pertama di Jepun. Stadium mereka siap pada 1993.

Sejak itu mereka telah menjadi kelab paling berjaya dalam kancah bola sepak Jepun. Sekarang Sumitomo Soccer Club ini dikenali sebagai Kashima Antlers.

Derby J League paling sengit merasmikan J League

Sejak dari awal penubuhan J League, perlawanan antara Verdy Kawasaki (sekarang dikenali sebagai Tokyo Verdy) dan Yokohama Marinos (sekarang dikenali sebagai Yokohama F Marinos) sentiasa menjadi tumpuan. Ia adalah derby match yang besar di J League.

Untuk merasmikan J League, perlawanan derby ini membuka tirai pada 15 Mei 1993 di Kasumigaoka National Stadium. 60,000 penyokong berebut untuk mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan bersejarah pertama tersebut

Ketika ini, stadium ini sekarang sedang dalam proses dirobohkan bagi membina sebuah stadium baru yang lebih besar.

tokyo ver yokohama marinos j league opening match

 

Pada malam yang bersejarah itu, Marinos megalahkan Verdy dengan kemenangan 2-1. Keputusan perlawanan pertama ini tidak begitu penting jika dibandingkan dengan atmosfera stadium. Ia turut disaksikan oleh jutaan peminat seluruh Jepun di kaca TV.

Perlawanan itu mungkin sudah lama berakhir, namun disinilah bermulanya sebuah liga bola sepak profesional Jepun.

 

Baca: Bagaimana Struktur J League Memacu Kejayaan Bola Sepak Jepun

**Artikel ini disumbangkan oleh Fanpage J League Malaysia. Like J League Malaysia di Facebook untuk mendapatkan info terkini mengenai J League.

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN