SCL2019: Terikat Tanpa Jaringan Berdepan MPKj FC, Aksi Terakhir Jadi Penentu Nasib NPNG FC

Iklan

NPNG FC

Keputusan seri tanpa jaringan dicatatkan pada pertemuan menentang MPKj FC sebentar tadi dalam saingan kumpulan B Selangor Champions League 2019 (SCL2019) memaksa NPNG FC Damansara Damai menanti sehingga ke perlawanan terakhir minggu hadapan untuk mencuri satu slot ke suku akhir.

Berdepan lawan yang sudah pun menempah tiket terlebih awal dan masih belum ditewaskan mana-mana pasukan selepas mengharungi lima perlawanan, NPNG FC nyata berdepan laluan getir pada perlawanan ini.

Secara keseluruhannya kedua-dua pasukan terutamanya buat NPNG FC Damansara Damai mempamerkan corak permainan menarik dengan saling berbalas serangan ke kubu lawan masing-masing.

Tetapi penyudah kurang berkesan ditampilkan serta kecemerlangan penjaga gol MPKj FC, Wan Azizul Hakim turut menjadi tumpuan dalam menghalang skuad bimbingan Micheal Palani itu untuk meraih kemenangan penting yang diharapkan.

Keadaan itu juga membolehkan Wan Azizul Hakim dipilih sebagai pemain terbaik pada perlawanan ini.

Dengan MPKj FC yang sudah pun mengesahkan tempat ke suku akhir bersama-sama MBSA FC, dua lagi slot dalam kumpulan B ini bakal direbut NPNG FC Damansara Damai bersama-sama SA Klasiko FC dan Bukit Kapar FC.

Secara matematiknya, pasukan Belia Selangor turut mampu untuk turut serta bersaing sekiranya barisan muda itu mampu mencatatkan kemenangan pada aksi sebentar lagi.

Pemain terbaik perlawanan: Wan Azizul Hakim (MPKj FC)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram