SCL2019: SA Klasiko FC Lega Badi Subang Protap II FC Tak Berulang

SA Klasiko FC

SA Klasiko FC berjaya mengelak daripada terus dikecewakan Subang Protap II FC selepas keputusan seri 1-1 yang diraih pada aksi terakhir kumpulan B Selangor Champions League 2019 (SCL2019) membawa kelab tersebut ke saingan suku akhir.

Menarik untuk diperkatakan mengenai perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan ini ialah Subang Protap FC pernah mengecewakan SA Klasiko FC dalam dua edisi Selangor Champions League.

Pada tahun 2017, Subang Protap II FC telah menyingkirkan SA Klasiko FC di peringkat kumpulan manakala edisi 2018 pula menyaksikan skuad bimbingan Khairil Anuar itu dikecewakan dalam saingan kelayakan.

SA Klasiko yang hanya memerlukan satu mata pada perlawanan ini tampak memberikan tekanan sejak dari awal permainan.

Skuad berpangkalan di Shah Alam itu hampir membuka tirai jaringan seawal minit keenam tetapi Nabilah Khan gagal menyudahkan peluang terhidang selepas percubaan jarak dekat dilepaskan berjaya dinafikan penjaga gol, Asrul Azmi.

Perlawanan bertambah menarik dengan Subang Protap II FC juga sesekali melancarkan serangan bagi mengkucar-kacirkan jentera pertahanan SA Klasiko FC.

Jaringan dinantikan menjelma pada minit ke-48 selepas Nabilah Khan yang tidak dikawal dalam kawasan penalti menolak masuk bola hasil hantaran Amir Safuan Badeli bagi meletakkan SA Klasiko FC di hadapan.

Kelebihan tersebut bagaimanapun hanya mampu bertahan lima minit apabila Aqil Mustapha menyudahkan hantaran berpunca daripada gerakan solo Haedar Halim di sebelah kanan pintu gol SA Klasiko FC.

Perlawanan terpaksa dihentikan ketika aksi berbaki tujuh minit berikutan gangguan bekalan elektrik di Arena MPSJ. Kedua-dua pasukan akhirnya mencapai persetujuan untuk menamatkan perlawanan, sekaligus membawa SA Klasiko FC ke saingan lapan pasukan terbaik.

Sementara itu, aksi sebelumnya di antara SA PIB FC dan Cyberjaya Teleflow FC terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu berikutan cuaca buruk di Subang Jaya, petang tadi.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram