SCL2019: NPNG FC Kembali Temui Sentuhan Kemenangan

NPNG FC

NPNG FC Damansara Damai segera melupakan kekecewaan minggu lalu setelah berjaya menundukkan Subang Protap II FC 4-0 pada saingan kumpulan B Selangor Champions League 2019 (SCL2019) di Arena MPSJ, sebentar tadi.

Pemain tengah import, Umar Etudayeabdulmajid nyata mencuri tumpuan pada aksi pertama minggu kedua ini apabila beliau meledakkan hatrik bagi mengiringi kebangkitan pasukan pilihan itu.

Jaringan pembukaan NPNG FC menjelma pada minit ke-22 selepas Patrick Asare yang mendapat hantaran jauh daripada Wan Muhammad Hamizi, melepaskan rembatan dalam kawasan penalti bagi menewaskan Mohd Noor Azrin Adnan di gawang Subang Protap II FC.

Gol tersebut jelas menjadi tonik yang cukup berguna buat NPNG FC apabila Lukhman Noor Hakim hampir menjadikan kedudukan 2-0 berselang dua minit kemudian. Rembatan padu jarak jauh diledakkan Lukhman bagaimanapun sekadar singgah di palang gol.

Umar melebarkan kedudukan pada minit ke-32 setelah tandukannya hasil hantaran dari sebelah kanan pintu gol Subang Protap II dilakukan S. Harivarman tidak mampu dihalang Azrin.

Memasuki babak kedua, NPNG FC terus mendominasi aksi dan mereka dilihat sukar digugat para pemain Subang Protap II FC.

Kesempatan penguasaan permainan itu digunakan sepenuhnya untuk mencipta jaringan ketiga menerusi Umar pada minit ke-47 dan beliau melengkapkan hatrik berselang 10 minit kemudian hasil tolakan mudah berpunca daripada sepakan percuma Lukhman yang gagal ditangkap kemas Azrin Adnan.

Kedudukan 4-0 itu kekal hingga tamat permainan walaupun Subang Protap II FC tetap berusaha keras untuk sekurang-kurangnya menjaringkan gol saguhati.

Pemain terbaik perlawanan: Umar Etudayeabdulmajid (NPNG FC Damansara Damai)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram