SCL2019: Ledakan Hamizan Hadiahkan Kemenangan Sulung Buat SA PIB FC

SA PIB FC

Jaringan kemenangan oleh Muhammad Hamizan telah menghadiahkan kemenangan sulung buat SA PIB FC yang menundukkan SA AZE FC 2-1 pada aksi minggu keempat Selangor Champions League 2019 (SCL2019) di Arena MPSJ, sebentar tadi.

Naib juara edisi 2017 itu bagaimanapun tersentak pada minit ke-17 apabila Muhammad Syimir Hazim terlebih dahulu menemui sentuhan jaringan selepas beliau menerima lorongan daripada Sherif Ahmed Moustafa.

Tersentak dengan jaringan tersebut, SA PIB FC memperkemaskan aksi dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-35 menerusi Shahrul Amin.

Namun, percubaan kaki kiri yang diledakkan pemain muda itu dalam kawasan penalti SA AZE FC sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol lawan.

Jaringan yang dinantikan SA PIB FC menjelma pada minit ke-44 apabila Azwan Jatin menolak mudah bola hasil hantaran lintang dilakukan Muhammad Hamizan walaupun penjaga gol, Nik Najmee Nik Hussin berusaha keras untuk menggagalkan percubaan tersebut.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan satu lagi keputusan seri, Hamizan menceriakan kem SA PIB FC setelah ledakannya susulan sepakan percuma terus menerjah gawang SA AZE FC.

Dengan kemenangan sulung ini, SA PIB FC melonjak ke tangga kelima dengan lima mata manakala SA AZE FC kekal di dasar kumpulan B tanpa sebarang mata mampu diraih.

Pemain terbaik perlawanan: Muhammad Hamizan (SA PIB FC)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram