SCL2019: Jaringan Tunggal Terence Bawa Kuala Selangor Batu Dua FC Ke Final

Kuala Selangor Batu Dua FC

Kuala Selangor Batu Dua FC berjaya melangkah ke perlawanan akhir Selangor Champions League 2019 (SCL2019) selepas menundukkan MBSA FC 1-0 sebentar tadi.

Corak permainan saling serang-menyerang terutamanya pada babak kedua menghiasi aksi separuh akhir yang berlangsung di Arena MPSJ, Subang Jaya itu.

Kuala Selangor Batu Dua FC hanya memerlukan empat minit sahaja untuk membuka tirai jaringan menerusi tonggak utama, Terence Marieselvam.

Terence yang menerima lorongan cantik daripada penyerang import, Chukwu Nnabuike Chijoke tidak berdepan masalah bagi menewaskan penjaga gol MBSA FC, Lutfil Hadi.

Sedar kelebihan satu jaringan masih tidak mencukupi, para pemain Kuala Selangor Batu Dua FC giat melancarkan serangan ke kubu MBSA FC.

Namun, beberapa deretan peluang yang terhidang tidak mampu untuk menjelmakan jaringan kedua buat wakil dari kumpulan A itu.

MBSA FC yang amat memerlukan jaringan penyamaan juga tidak berupaya merobohkan gawang Kuala Selangor Batu Dua FC sepanjang perlawanan.

Dengan kemenangan tersebut, Kuala Selangor Batu Dua FC bakal bertemu skuad himpunan nama besar, Kingstown Klang FC pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam, minggu hadapan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram