SCL2018: NPNG FC Mulakan Saingan Dengan Langkah Kanan, Tundukkan Hypernova FT 2-1

NPNG FC

NPNG FC Damansara Damai memulakan kempen Selangor Champions League 2018 dengan langkah kanan selepas menundukkan Gombak Hypernova FT 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Arena MPSJ malam tadi.

Turun sebagai antara pasukan pilihan yang akan menjuarai saingan musim ini, NPNG FC mempamerkan corak permainan kemas sejak dari awal permainan.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang Gombak Hypernova FT bagi memberikan saingan hebat buat NPNG FC.

Ia terbukti apabila Hypernova FT terlebih dahulu berada di hadapan apabila Arih Amri mencipta jaringan cantik pada minit ke-11.

Pemain sayap kiri NPNG FC, Ismail Mamat cuba melepasi kawalan pemain Hypernova FT.

Jaringan tersebut terhasil selepas Arih yang tidak dikawal di luar kotak penalti melepaskan satu rembatan yang menggegar jaring gol NPNG FC yang dikawal Zaidi Razlee.

Tersentak dengan jaringan itu, NPNG FC memperkemaskan aksi mereka dan hanya memerlukan lima minit bagi menyamakan kedudukan.

Pemain tengah berpengaruh NPNG FC, Lukhman Noor Hakim meletakkan nama selaku penjaring selepas rembatannya dalam kotak penalti gagal dihalang Aidil Anuar untuk kedudukan 1-1.

Memasuki babak kedua, pasukan yang berpengkalan di Damansara Damai itu terus bernafsu bagi menambah jaringan.

Bagaimanapun usaha yang dilancarkan masih gagal untuk menjelmakan hasil yang diharapkan.

Serangan demi serangan yang dihasilkan berjaya dipatahkan oleh jentera pertahanan dan penjaga gol Hypernova FT.

Pemain Hypernova FT, Ammar Riduan turut beraksi dengan baik pada perlawanan malam tadi.

Semangat juang yang tidak pernah mengenal lelah membuahkan hasil buat NPNG FC selepas jaringan yang dinantikan akhirnya hadir pada minit ke-68.

Sepakan sudut yang diambil Ismail Mamat terus disambar Sivachancran Gunasekaran dan kemudiannya disudahkan dengan baik oleh Darshen Ganesan untuk mengesahkan kemenangan berharga pada perlawanan sulung mereka.

Jaringan tersebut jelas menyemarakkan semangat para pemain untuk terus memburu jaringan tetapi percubaan terakhir yang dimiliki NPNG FC pada lewat permainan berjaya dihalang pertahanan lawan.

Menarik untuk disaksikan pada perlawanan ini adalah pertembungan dua maestro iaitu Lukhman Noor Hakim (NPNG FC) dan Eddy Chandra Montir (Hypernova FT) yang beraksi dengan baik buat pasukan masing-masing.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram