SCL2018: NPNG FC Damansara Damai Berpesta Gol, Belasah Subang City FC 5-0

NPNG FC Damansara Damai

NPNG FC Damansara Damai menepati ramalan selaku pasukan pilihan setelah berpesta gol menumpaskan Subang City FC 5-0 pada perlawanan yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.

NPNG FC Damansara Damai jelas sukar digugat Subang City FC dengan corak permainan kemas dipertontonkan skuad bimbingan Micheal Palani itu.

Mohd Badrul Hisyam Azmi menguji gawang Subang City FC pada minit ke-8 selepas rembatan dari luar kotak penalti yang diledakkan berjaya diselamatkan penjaga gol, Muhammad Firdaus Md Shukor.

Perancang kreatif NPNG FC Damansara Damai, Mohd Lukhman Noor Hakim turut menguji ketangkasan Firdaus Shukor juga menerusi rembatan padu dari luar kawasan penalti.

Firdaus Shukor terus cemerlang mengawal gawangnya dari dibolosi selepas berjaya menafikan dua percubaan yang dimiliki Muhammad Ridhwan Johan dalam tempoh masa tiga minit.

Kekebalan penjaga gol berusia 30 tahun itu akhirnya terhenti pada minit ke-24 selepas Sivachandran Gunasekaran berjaya membuka tirai jaringan.

Berpunca daripada hantaran jauh yang cukup berkualiti dari Lukhman Noor Hakim, Sivachandran melepasi perangkap ofsaid dan seterusnya melepaskan rembatan untuk gol pembukaan.

Kualiti yang begitu baik dimiliki Lukhman menjadikan beliau pemain paling menonjol pada perlawanan ini.

Memasuki babak kedua, Subang City FC terus tenggelam dek serangan hebat yang dilancarkan NPNG FC Damansara Damai.

Badrul Hisyam Azmi menambah jaringan kedua berselang tiga minit perlawanan babak kedua bersambung menerusi tandukan susulan yang dilakukan hasil hantaran lintang dari sebelah kiri Subang City FC.

Lukhman Noor Hakim menambah luka buat Subang City FC selepas beliau berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-47 akibat kekasaran yang dilakukan pertahanan, Ravi Kumar terhadap Mohd Haiqal Johari dalam kawasan penalti.

Dua lagi jaringan NPNG FC Damansara Damai dihasilkan oleh Ridhwan Johan dan Darshen Ganesan pada minit ke-62 dan 64 untuk keputusan penuh 5-0.

Pemain terbaik perlawanan: Mohd Lukhman Noor Hakim (NPNG FC Damansara Damai)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram