SCL2018: Menang 3-0 Bertemu Kajang AZS, NPNG FC Damansara Damai Tempah Slot Suku Akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
NPNG FC Damansara Damai

Pasukan pilihan, NPNG FC Damansara Damai berjaya mengesahkan tempat ke suku akhir terlebih awal selepas berjaya menundukkan Kajang AZS 3-0 pada aksi yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Micheal Palani itu ternyata cukup dominan selepas memberikan ancaman bahaya buat Kajang AZS seawal minit kedua selepas rembatan kencang dari jarak jauh diledakkan Muhammad Ridhwan Johan terkena palang gol.

Ridhwan sekali lagi mencemaskan gawang lawan menerusi tandukan hasil hantaran jauh dilakukan Wan Mohd Hamizi Wan Ahmad sedikit melewati pintu gol Kajang AZS.

Seminit kemudian ayam tambatan Kajang AZS, Phillip Abbah Eugine pula menguji jentera pertahanan NPNG FC hasil rembatan kaki kiri dilepaskan, namun penjaga gol, Mohd Zaidi Razlee bertindak cemerlang menepis percubaan tersebut.

Jaringan yang dinantikan NPNG FC Damansara Damai menjelma pada minit ke-29 apabila Ismail Mamat merembat masuk bola dalam kawasan penalti selepas kapten Kajang AZS, Faizal Rahman gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Pemain sayap NPNG FC, Muhd Haiqal Johari terlepas peluang bagi menambah jaringan walaupun beliau mempunyai peluang terhidang di hadapan gol pada penghujung babak pertama.

Pemain berusia 20 tahun itu berjaya menebus kesilapan tersebut dengan menyumbat gol kedua, juga hasil kesilapan pertahanan yang melakukan tolakan ke belakang yang terus dirampas Ridhwan Johan.

Haiqal yang melakukan rembatan susulan dalam kawasan penalti tidak mensia-siakan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Tonggak jentera tengah NPNG FC, Lukhman Noor Hakim menambah luka buat Kajang AZS apabila rembatan hasil gerakan solo dilakukannya berjaya menewaskan penjaga gol, Faiz Ismail.

Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, Kajang AZS terus kecewa selepas Muhammad Abdul Haqim Mohd Radzuan dilayangkan kad merah pada minit ke-61.

Kedudukan 3-0 tersebut kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan NPNG FC Damansara Damai gah di tangga teratas kumpulan B dengan mengumpul 17 mata tanpa sebarang kekalahan.

Pemain terbaik perlawanan: Muhd Haikal Johari (NPNG FC Damansara Damai)