SCL2018: Gabriel Sunday Hero Puchong Fuerza, Selamatkan 3 Penalti Duta ZXiV

Gabriel Sunday muncul hero Puchong Fuerza apabila 3 aksi penyelamat beliau ketika penentuan penalti berjaya menyingkirkan Duta ZXiV dari saingan Selangor Champions League petang tadi. Puchong Fuerza menang 2-0 dalam penentuan penalti selepas diikat 0-0 dalam masa sebenar.

Puchong Fuerza memulakan perlawanan dengan baik apabila seawal minit pertama lagi berjaya memecah masuk kubu Duta ZXiV. Sentuhan pertama penyerang mereka, Afiq Azmi membolehkan beliau mendapat ruang untuk membuat percubaan. Bagaimanapun teknik kurang baik membuatkan percubaan bekas penyerang Selangor dan Negeri Sembilan ini meliar dari sasaran.

Ketiadaan penyerang utama Duta ZXiV, Medina Mbeguerre kerana digantung perlawanan jelas menjejaskan kelancaran serangan pasukannya. Meskipun penggantinya, Jacque Faye – yang biasanya bermain di posisi tengah – mempunyai fizikal sama seperti Medina, tetapi Jacque kelihatan kekok beraksi sebagai penyerang bidan terjun.

Ini terbukti apabila Duta ZXiV mengambil masa hampir 10 minit untuk melakukan percubaan tepat yang pertama.

Pemain Duta ZXiV, Jacque Faye terpaksa beraksi sebagai penyerang bidan terjun ketika ketiadaan Medina Mbeguerre. (Foto: Rushdi Salleh / asiana.my)

Tambah parah buat Duta ZXiV, kehilangan Jacque dari jentera tengah menyukarkan kerja juara KVL Super League 2018 ini menangani kelincahan Farhanuzi Che Sanuzi. Farhanuzi yang berpasangan dengan Norismaidham Ismail di tengah, dibantu pula oleh penyerang Hakim Zainal, berkali-kali memporak-perandakan pertahanan Duta ZXiV.

Kesukaran Duta ZXiV ini memaksa pertahanan mereka untuk beralih kepada bentesan-bentesan liar dalam usaha untuk menghentikan serangan bertubi-tubi Puchong Fuerza. Sebanyak dua kad kuning dikutip oleh mereka pada separuh masa pertama. Tetapi setidak-tidaknya strategi mereka untuk mengikat Puchong Fuerza 0-0 pada 45 minit pertama berhasil.

Duta ZXiV bagaimanapun berjaya mempamerkan persembahan yang lebih bertenaga pada separuh masa kedua. Salah satu sebabnya adalah Jacque Faye turun semula di jentera tengah. Tetapi seperti pertahanan Duta ZXiV pada separuh masa pertama, Puchong Fuerza juga teguh bertahan.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Tetapi pertahanan kedua-dua pasukan juga kental bertahan sehingga memudahkan kerja penjaga gol mereka masing-masing. Pujian harus diberikan kepada Faizal Sumar, Fitri Yatim (Duta ZXiV) dan Al Amin Abdullah, Arfiyansah Abdul Jafar (Puchog Fuerza) kerana prestasi cemerlang mereka mengemudi kubu masing-masing.

Dengan kedua-dua pasukan masih terikat 0-0 selepas 90 minit, nasib kedua-dua pasukan ditentukan oleh loteri sepakan penalti. Ketika inilah Gabriel Sunday muncul hero Puchong Fuerza apabila cemerlang menyelamatkan 3 penalti Duta ZXiV sebelum Aznorayll Alazaman mengesahkan kemaraan pasukannya ke separuh akhir.

Pemain-pemain Puchong Fuerza meraikan kemenangan mereka selepas menumpaskan Duta ZXiV 2-0 dalam penentuan penalti. (Foto: Rushdie Salleh / asiana.my)

Pemain terbaik perlawanan: Gabriel Sunday (Puchong Fuerza)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN