SCL2018: Dua Jaringan Phillip Abbah Bantu Kajang AZS Raih Kemenangan Kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Phillip Abbah

Kajang AZS terus mencatatkan kemenangan selepas menundukkan Club Atletico De Bukit Jelutong (CABJ FC) 2-1 pada saingan Selangor Champions League 2018, petang tadi.

Tidak seperti aksi pertama yang berlangsung melibatkan Duta ZXIV dan Gombak Hypernova FT, pertemuan Kajang AZS bertemu CABJ berlangsung dengan sedikit hambar.

Namun, ia tidak menghalang penyerang tinggi lampai Kajang AZS, Phillip Abbah Eugine bagi membuka tirai jaringan pada minit ke-24.

Berpunca daripada hantaran jauh yang dilakukan ketua pasukan, Muhammad Faizal Abd Rahman yang mencari Phillip, pemain import dari Nigeria itu melepaskan percubaan yang memberikan jaringan pendahuluan.

Muhd Faizal Abu Samah hampir menjadikan kedudukan 2-0 selepas mendapat peluang terbuka di hadapan gol lawan, bagaimanapun ledakan padu yang dilepaskan berjaya ditepis keluar penjaga gol CABJ, Amirul Haziq Amran.

Pemain import Kajang AZS, Mohamed Abdurazzag Alkanouni (jersi oren) ketika perebutan bola di udara bersama pemain CABJ FC.

Azrul Raimie Razi akhirnya menggembirakan kem CABJ pada lewat aksi babak pertama selepas beliau yang menerima hantaran dari rakan sepasukannya, berjaya menggelecek penjaga gol dan pertahanan untuk kembali menyamakan kedudukan.

Memasuki babak kedua, CABJ terlepas peluang keemasan apabila sepakan dari jarak jauh yang dirembat Abdul Rayjal Abdul Jalil terkena palang gol.

Phillip Abbah kembali meletakkan Kajang AZS di hadapan pada minit ke-55 selepas penyerang berusia 22 tahun itu berjaya melakukan tandukan yang menggegar gawang lawan selepas beliau menerima hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol CABJ daripada Mohamed Abdurazzag Alkanouni.

CABJ yang berusaha bangkit untuk memburu jaringan terpaksa menelan kekecewaan apabila keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Tamat perlawanan menyaksikan Kajang AZS mencatatkan kemenangan kedua selepas turut menang 2-1 pada minggu lalu, sementara itu, CABJ masih tercari-cari kemenangan sulung setelah hanya mencatatkan satu mata dari tiga perlawanan dilalui.

Pemain terbaik perlawanan: Phillip Abbah Eugine (Kajang AZS)