SCL2018: Cheras Raptors Berhempas Pulas, Tumbangkan Gombak Hypernova FT 2-1

Iklan

Cheras Raptors

Cheras Raptors berjaya mencatatkan kemenangan sulung selepas menewaskan Gombak Hypernova FT 2-1 pada perlawanan minggu ketiga saingan Selangor Champions League 2018 (SCL2018) di Arena MPSJ, sebentar tadi.

Tiga jaringan terhasil di babak pertama dan dua daripadanya menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Cheras Raptors.

Penyerang muda Cheras Raptors yang menjadi sandaran utama bagi menjaringkan gol, Muhamad Imran Samsudin jelas memberikan masalah buat Gombak Hypernova FT.

Ia dibuktikan apabila pemain berusia 20 tahun itu dua kali dikasari dalam kotak penalti untuk memberikan sepakan penalti buat Cheras Raptors.

Sepakan penalti pertama yang diambil Satiskumar Krishnan pada mulanya meliar melewati palang gol.

Namun, pengadil perlawanan terlebih dahulu mengesan kesalahan yang dilakukan penjaga gol Hypernova FT, Muhammad Aidil Iskandar Anuar yang didakwa terlebih awal keluar dari kawasannya.

Satiskumar yang mengambil semula sepakan tersebut pada minit ke-11, menebus kesilapannya untuk membuka tirai jaringan.

Sepakan penalti kedua buat Cheras Raptors menjelma berselang empat minit kemudian dan kali ini giliran Sugunthan A/L Maniam menyempurnakan sepakan tersebut untuk melebarkan kedudukan 2-0.

Sepakan kedua yang dihadiahkan pengadil perlawanan mengundang kontroversi selepas para pemain Hypernova FT bertindak keluar padang sebagai tanda protes terhadap keputusan yang dibuat.

Bagaimanapun, segalanya berjaya diselesaikan dengan baik untuk perlawanan kembali diteruskan.

Hypernova FT yang masih berupaya mempamerkan corak permainan kemas di sebalik rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain mereka, berjaya merapatkan jurang pada minit ke-35.

Nik Mohd Syukri Nik Wil yang meluru pantas ke pintu gol lawan tidak melepaskan peluang untuk mencipta jaringan buat Hypernova FT.

Peluang keemasan buat Hypernova FT bagi menyamakan kedudukan disia-siakan pada minit ke-48 apabila sepakan penalti yang diberikan gagal disempurnakan dengan baik oleh Muhammad Fahzrul Affan Nurul Anuar.

Penjaga gol Cheras Raptors, Afiff Azman dengan tangkas menggagalkan sepakan yang diambil pemain sayap berusia 25 tahun itu.

Keputusan 2-1 tersebut kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan kemenangan pertama buat Cheras Raptors.

Bagi Gombak Hypernova FT pula, tewas pada perlawanan malam ini bermakna ia merupakan kekalahan kedua buat mereka selepas turut tumbang 2-1 pada perlawanan sulung bertemu NPNG FC.

Pemain terbaik perlawanan: Muhammad Imran Samsudin (Cheras Raptors)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram