‘Saya Tak Mahu Tengok Muka Dia Lagi’ – Presiden Sarawak United Anggap Sandro Sengaja Buat Kecoh

Posa Majais Sarawak United Sandro Da Silva

Bola sepak Malaysia ini sudah diibaratkan seperti pentas Raja Lawak. Terbaharu Presiden Sarawak United, Dato’ Posa Majais seolah-olah merasakan kegagalan untuk menjelaskan gaji tertunggak pemain selama sebulan setengah bukanlah ‘isu besar’.

Dalam kenyataannya kepada Stadium Astro, Posa yang juga merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan kekecewaan dan rasa terkilannya terhadap pemain import, Sandro Da Silva yang dianggap sengaja menjadikan perkara tersebut sensasi di media.

“Kenapa Sandro perlu [war-warkan] masalah gaji sedangkan hanya tertunggaknya sebulan setengah. Itu pun nak keluar di berita dunia, bukannya 2-3 bulan pun,” katanya.

“Boleh pastikan dengan pemain-pemain lain, gaji yang tertunggak ialah sejak April lalu dan bulan ini. Yang saya kesalkan, apabila kelab lain tahu masalah ini, mereka mula menghasut pemain kami. Mereka sepatutnya cermin diri sendiri dulu, adakah OK atau tidak?”

Bekas pemain Selangor dari Brazil itu dikatakan hanya menerima 70 peratus sahaja gaji bagi dua bulan pertama iaitu Januari dan Februari dan tidak menerima sebarang bayaran untuk bulan Mac dan April.

Malah elaun rumah dan kenderaan bagi dua bulan tersebut dengan nilai keseluruhannya dianggarkan ratusan ribu ringgit juga masih belum diterima dan beliau dilaporkan bersedia untuk mengheret majikannya itu ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam pada itu, Posa juga mengatakan beliau tidak mahu lagi melihat muka Sandro bersama pasukan, namun menyerahkan keputusan kepada ketua jurulatih E. Elavarasan untuk menentukan kedudukannya dalam pasukan.

“Kalau hendak kekal, dia perlu tunjukkan prestasi baik. Kalau betul kelab luar nak ambilnya, saya bagi percuma sahaja cuma bayar gaji sebulannya yang tertunggak. Soal yuran perpindahan saya sedekahkan sahaja.”

Melihat kepada kata-kata Presiden Sarawak United itu, adakah beliau sama sekali tidak merasa berada di pihak yang salah? Terlewat sebulan setengah, sebulan atau setengah bulan sekalipun, ia bermaksud anda gagal untuk menyelesaikan gaji pemain mengikut masa yang ditetapkan.

Semoga individu seperti ini dijauhkan daripada terus mencemari bola sepak Malaysia.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Selepas Perak, Giliran Pemain Sarawak United Pula Angkat Kaki?

Kronologi Kegagalan Pembayaran Gaji 5 Kelab Malaysia, Penyumbang Permohonan Geran FIFA FFP

Bola Sepak Malaysia Berduka Dengan Pemergian Bayi Perempuan Syahmi Safari

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

One Comment

  • Fuh banyak betul gaji sorang. Currency dia lebih kurang msia je tapi living cost tinggi sebab banyak corruption. Puluh ribu cukup ah

Leave a Reply