‘Saya Akan Tetap Bersuara Demi Kemanusiaan’ – Ozil Luah Kekecewaan Disisih Arsenal

Mesut Ozil Arsenal

Ibarat layang-layang yang putus talinya, pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil meluahkan kekecewaannya di media sosial seperti seseorang yang sudah putus harapan dan hanya berserah kepada nasib apabila terus disisih daripada pasukan.

Pemain berusia 32 tahun itu tidak disenaraikan dalam 25 orang pemain untuk skuad Liga Perdana Inggeris. Malah namanya turut tercicir daripada skuad Liga Europa dan kini hanya boleh beraksi untuk skuad bawah 23 tahun (B-23) sehingga kontraknya tamat pada musim panas tahun depan.

Ozil menyertai Arsenal sebagai rekod pembelian termahal Arsenal pada 2013 dari Real Madrid dengan nilai perpindahan £42.2 juta. Namun sikapnya yang lantang terhadap isu kemanusiaan sejak kebelakangan ini telah memberi banyak kesan buruk terhadap kariernya.

Dalam satu mesej yang disampaikan kepada penyokong Arsenal, pemenang Piala Dunia 2014 itu mengatakan ‘kesetiaan’ seperti sudah tidak lagi bermakna pada hari ini.

“Semasa menandatangani kontrak baharu pada 2018, saya telah meletakkan kesetiaan saya kepada kelab yang saya amat sayangi ini, Arsenal.

“Minggu ke minggu, saya masih tetap positif dan terus berusaha dengan harapan mungkin masih ada peluang untuk kembali bermain untuk pasukan. Itulah sebabnya saya memilih untuk berdiam diri selama ini.

“Sebelum liga direhatkan kerana coronavirus, saya sangat gembira dengan perkembangan di bawah jurulatih baharu kami, Mikel Arteta. Kami berada landasan yang positif dan saya boleh katakan prestasi saya berada pada tahap yang sangat baik.”

Sejak Arteta dilantik pada Disember 2019, Ozil telah diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama dalam 10 perlawanan sebelum semua aksi bola sepak dihentikan selama tiga bulan ekoran pandemik.

Sepanjang kariernya di Arsenal, beliau telah beraksi sebanyak 254 perlawanan dan menjaringkan 44 gol dalam semua pertandingan.

“Malangnya, keadaan kemudian berubah, sekali lagi saya tidak dibenarkan bermain bola sepak untuk Arsenal. Apa lagi yang saya boleh katakan?” katanya lagi.

“Saya masih menganggap London seperti rumah saya sendiri, saya masih ramai kawan baik dalam pasukan dan saya masih mempunyai hubungan yang kuat dengan penyokong pasukan kelab ini.

“Walau apa pun, saya akan terus berjuang ntuk merebut peluang dan saya tidak akan biarkan musim kelapan saya di Arsenal berakhir seperti ini. Saya berjanji kepada anda semua bahawa keputusan sukar ini tidak akan mengubah apa-apa dalam pemikiran saya.

“Saya akan terus berlatih sebaik yang mungkin dan akan terus bersuara untuk menentang sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan demi keadilan.”

Sebelum ini, syarikat pengeluar pakaian sukan terkemuka dunia, Adidas turut mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Ozil sebagai duta produk mereka tidak lama selepas pemain tersebut bersuara mengenai isu kezaliman kerajaan China terhadap etnik muslim Uyghur.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Mesut Ozil:

Mertesacker Beri Sebab Kenapa Arsenal Gugurkan Mesut Ozil

Arsene Wenger ‘Ajar’ Arteta Cara Untuk Guna Pemain Seperti Mesut Ozil

Ozil: Saya Akan Bayar Gaji Gunnersaurus Selagi Bergelar Pemain Arsenal

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN