Satiananthan Tak Puas Hati Dengan Keadaan Padang Di Stadium Shah Alam

Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan mengakui tidak berpuas hati dengan kualiti permukaan padang di Stadium Shah Alam ketika pasukannya terikat 1-1 dengan FELDA United dalam aksi sulung Liga Super kelmarin.

Malah, beliau juga meragui hasil kerja pihak pengurusan stadium yang dikatakan memerlukan masa selama dua bulan untuk memperbaiki padang.

“Tahukah anda bahawa kami hanya dapat menggunakan padang ini sehari sebelum perlawanan kerana proses membaik pulih yang dilakukan selama dua bulan?

“Mereka memberitahu saya bahawa mereka memerlukan 40 hari untuk memperbaiki permukaan padang.

“Adakah ia kelihatan seperti telah menjalani proses baik pulih selama 40 hari?

“Saya rasa tidak. Saya boleh memperbaiki padang itu dalam tempoh dua minggu. Jika tidak percaya, anda boleh bertanyakan kepada pasukan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam Stadium Astro.

Jaringan daripada Antonio German meletak Selangor di depan ketika menentang FELDA United. FOTO: FAS

Tanpa mengukir sebarang senyuman di wajahnya, ia sudah cukup menggambarkan bertapa marahnya beliau dengan prestasi pemainnya ketika menentang FELDA United.

Dalam perlawanan itu, Selangor tampak bergelut pada awal perlawanan. Gergasi merah kurang kreativiti dan tercari-cari rentak. Mereka cuba untuk menghidupkan talian taktikal kepada penyerang terutama sekali Rufino Segovia.

Ia tidak berlangsung seperti yang diharapkan jurulatih berkenaan memandangkan kegagalan itu berpunca daripada keputusan kurang bijak yang dilakukan pemainnya di atas padang.

“Kami amat bodoh. Kami bodoh kerana kerap masuk melalui bahagian tengah.

“Kami sepatutnya memanfaatkan bahagian sayap. Adakalanya pemain saya lebih gemar untuk menghasilkan gol yang cantik.

“Mereka gemar melorongkan bola yang akhirnya mengakibatkan pasukan lawan menghasilkan serangan balas.

“Kami sepatutnya menggunakan bahagian tepi seperti yang saya arahkan. Namun, adakalanya pemain akan bertindak seperti itu,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram