Sathianathan: Tiada Pencari Bakat Punca Pengambilan Pemain Import Kitar Semula

Kelmarin, media tempatan melaporkan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar membidas sikap pengurusan pasukan dan jurulatih pasukan Liga Malaysia yang hanya memikirkan jalan pintas dengan mengambil pemain import kitar semula bagi memperkuatkan pasukan, terutama pada jendela perpindahan pertengahan musim.

Beliau berkata, kemasukan pemain import kitar semula ini menunjukkan sikap pengurusan yang malas mengkaji dan meniliti kemampuan pasukan.

Mengulas mengenai isu itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata kepada Berita Harian, menegaskan faktor kekangan masa menjadi antara punca kebanyakan jurulatih terpaksa mengikat pemain import ‘kitar semula’.

Beliau mencadangkan agar setiap pasukan Liga Malaysia mempunyai barisan pencari bakat (Scout) yang tersendiri untuk mencari pemain import yang berkualiti.

“Di negara ini, hanya JDT (Johor Darul Ta’zim) saja ada scout (pasukan pencari bakat) dan mereka pantau liga luar negara. Malah, mereka juga pantau dalam Liga M dan saya tahu setiap kali kita main ada scout dari JDT yang melihat.

“Berdasarkan senario bola sepak kita, jendela perpindahan ketika liga sedang berjalan menyebabkan jurulatih tidak boleh memantau dan menilai pemain yang diperlukan. Malah, untuk buat analisis terhadap seseorang pemain memerlukan dua atau tiga perlawanan.

“Tapi kita tidak ada masa untuk berbuat demikian kerana perlu kendalikan pasukan. Jadi, apa pilihan yang kita ada? Sebab itu saya fikir tidak salah kalau jurulatih ambil semula pemain import yang sudah beraksi dalam liga sebelum ini.

“Kalau kita ada scout di seluruh dunia seperti di Liverpool atau Manchester United, tak apa kerana mereka yang akan sediakan pemain. Tapi kalau kita fikir nak tubuhkan scout, duit pula tidak ada,” katanya.

Pencari Bakat (Scout).

Menurut Berita Harian, Sathianathan tidak bersetuju dengan kenyataan Azlan Johar dan berpendapat Azlan kurang memahami situasi yang sedang dilalui semua pasukan ketika ini.

“Kalau untuk perpindahan awal musim kita boleh nampak banyak pasukan yang mengikat pemain import baharu dan bukan kitar semula. Ia kerana jurulatih ada masa untuk buat pemilihan dan analisis terhadap pemain.

“Tapi, perkara itu orang tak nampak, orang yang komen dia tidak tahu, mungkin dia tak berada dalam situasi sekarang. Macam saya sendiri, kalau tidak boleh ke luar negara kerana perlu kendalikan pasukan, bagaimana saya nak uji pemain baharu,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram