Sarawak United Terima Hukuman Berat Selepas Insiden Serang Pengadil

Sarawak United menerima padah apabila menerima hukuman berat berikutan insiden menyerang pengadil selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Premier pada 11 September lalu.

Pertemuan tersebut merupakan pertemuan penting buat kedua-dua pasukan yang menduduki dua kedudukan teratas Liga Premier dalam menentukan kejuaraan pada musim ini.

Aksi Liga Premier antara Sarawak United berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Bolasepak Cheras malam itu ‘panas’ susulan keputusan pengadil yang didakwa tidak adil dari kem Sarawak United.

Menerusi satu klip video yang tular di media sosial, pengadil perlawanan, Mohd Kamil Zakaria Ismail diserang beberapa pemain, pegawai dan jurulatih Sarawak United selepas aksi berakhir dengan kemenangan 1-0 buat NSFC.

Enam individu terima hukuman berat

Berikutan insiden tersebut, enam individu dari Sarawak United telah menerima hukuman denda dan hukuman gantung perlawanan.

Penjaga gol, Sharbinee Allawee menerima tiga pertuduhan iaitu kerana bertindak kasar kepada pemain lawan sehingga menerima layangan kad merah, menolak dada pengadil kerana tidak berpuas hati, dan juga kerana menolak/menumbuk papan penggantian yang digunakan pengadil keempat ketika keluar padang.

Untuk semua pertuduhan tersebut, penjaga gol veteran tersebut dikenakan penggantungan lima perlawanan dan denda RM7,000 untuk semua pertuduhan.

Turut menerima nasib yang sama adalah Mohammad Amer Saidin yang bertindak meluru ke arah pengadil perlawanan selepas wisel penamat ditiupkan dan melakukan sentuhan fizikal terhadap pegawai perlawanan. Untuk itu pemain ini digantung dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 yang tidak boleh dirayu.

Seorang lagi pemain yang turut tidak terlepas dari tindakan tatatertib FAM berkaitan insiden tersebut adalah pemain pertahanan, Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli. Badrul didakwa dengan dua pertuduhan kerana tidak meunjukkan sifat kesukanan, mengasari dan menyerang pengadil ketika dan selepas perlawanan.

Untuk itu, Badrul Affendy dikenakan hukuman penggantungan empat perlawanan dan denda RM4,000 untuk semua pertuduhan.

Pertuduhan libatkan pegawai & jurulatih

Tiga lagi pertuduhan oleh FAM pula melibatkan pegawai dan jurulatih Sarawak United. Mereka adalah pembantu pengurus, Abang Fomay Abang Sa’adeli; kitman pasukan Sarawak United, Rudy Bujang; dan Ketua Jurulatih, E. Elavarasan.

Abang Fomay dikenakan dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000, manakala Rudy Bujang turut dikenakan hukuman berat dikenakan hukuman penggantungan selama enam bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya yang berkuatkuasa mulai 17 September 2021 sehingga 16 Mac 2022 dan didenda sebanyak RM10,000.

Ketua Jurulatih, E. Elavarasan pula dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya yang berkuatkuasa mulai 17 September 2021 sehingga 16 September 2022 dan didenda sebanyak RM10,000.

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana hukuman penggantungan tersebut adalah ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.

Jika kesalahan yang sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penangguhan penggantungan, maka hukuman penggantungan 12 bulan tersebut akan dikuat kuasakan serta-merta terhadap beliau.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply