Sanusi Md Nor: Kedah Gagal Diambil Alih Oleh Syarikat Swasta

Kedah Darul Aman

Pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman mengalami waktu sukar ketika ini selepas mereka gagal untuk menyelesaikan proses pengambilalihan mereka dengan syarikat swasta.

Dalam sebuah sidang media yang dilakukan sebentar tadi, Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor mengatakan proses ambil alih pasukan utara Malaysia itu gagal akibat beberapa faktor.

Salah satunya adalah pemilikan berkenaan dua stadium di Kedah mahu ditukarmilik kepada milik gabungan syarikat swasta Flumen Holdings dan Go Auto Group yang mahu mengambil alih pasukan.

“Mereka minta untuk stadium, Stadium Darul Aman dan juga Stadium Sultan Abdul Halim tetapi ianya tidak boleh dilaksanakan.”

“Hal ini kerana stadium tersebut adalah milik perbadanan stadium, kami tak boleh beri kerana itu harta orang lain.”

Kata Sanusi lagi, kedua-dua syarikat itu yang sebelum ini dikhabarkan sudah 80% pasti memiliki pasukan Kedah turut meminta sejumlah tanah.

“Mereka juga turut meminta tanah dan ingin menukarkan ianya dari tanah pertanian kepada tanah perindustrian serta terdapat cara-cara bayaran yang tidak mendapat kelulusan, atas pertimbangan saya.”

Sanusi juga berkata yang pihaknya sudah memberikan banyak peluang namun ianya tidak digunakan sebaiknya oleh gabungan dua syarikat itu.

Beliau turut berkata buat masa sekarang Kedah bakal diuruskan oleh KDA FC yang merupakan entiti milik Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Sungguhpun begitu, Sanusi masih memberikan peluang kepada syarikat-syarikat lain yang berminat untuk tampil berunding untuk memiliki pasukan tersebut.

Baca juga artikel kami mengenai Kedah Darul Aman:

80 Peratus Selesai, GoFlumen Semakin Hampir Jadi Pemilik Kedah

Kedah Sudah Temui Jalan Keluar Kepada ‘Masalah’ Di Posisi Bek Kiri?

Piala AFC 2021: Terengganu Ada Peluang, Laluan Kedah Sedikit Berliku

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply